WASHINGTON, 14 DIS – Pengeluar ubat-ubatan Moderna dan Merck hari ini mengumumkan keputusan positif daripada uji kaji yang menggunakan teknologi messenger RNA buat kali pertama dalam menghasilkan vaksin untuk pesakit kanser kulit.
Teknologi mRNA terbukti penting dalam pembangunan vaksin menentang COVID, dan saintis percaya ia dapat membantu melawan virus lain dan penyakit seperti kanser.
Dalam ujian percubaan awal, 150 orang yang telah menjalani pembedahan membuang tumor melanoma diberikan sembilan dos vaksin uji kaji bersama rawatan kanser kulit Keytruda.
Kajian menunjukkan 44 peratus pengurangan dalam risiko kematian atau kambuh berbanding pesakit yang hanya dirawat dengan Keytruda, sejenis ubat imunoterapi.
“Keputusan hari ini amat menggalakkan untuk bidang rawatan kanser,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Moderna, Stephane Bancel dalam satu kenyataan.
“Teknologi mRNA telah mengalami transformasi untuk COVID, dan sekarang, buat julung kalinya, kami telah membuktikan potensi mRNA dalam memberikan kesan ke atas keputusan percubaan klinikal dalam melanoma.”
Moderna dan Merck, dikenali sebagai MSD di luar Amerika Utara, akan menerbitkan keputusan penuh kajian tidak lama lagi. Syarikat itu juga akan melancarkan percubaan Fasa 3 pada 2023, yang membabitkan sebilangan besar pesakit. – AFP


