Vaksin Moderna diperolehi Brunei selamat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Vaksin Moderna digunakan di negara ini dijamin tidak terlibat dengan sebarang pencemaran seperti yang berlaku di negara lain sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memberi jaminan itu pada sidang media COVID-19 di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kementerian telah menghubungi pembekal dan pembuat Moderna bagi negara ini dan diberikan jaminan bahawa kumpulan vaksin yang digunakan di negara ini tidak ada kena mengena dengan pencemaran yang berlaku di luar negara.

Ketika menjawab persoalan mengenai persamaan nombor kumpulan vaksin Moderna yang hampir dengan nombor yang tercemar di luar negara, beliau menekankan walaupun terdapat sedikit perbezaan nombor batch pada hujung nombor, ia hanyalah dikhaskan kepada negara tersebut sahaja dan tidak diedarkan ke negara lain, jelasnya.

Selain itu, kementerian juga berhubung dengan pihak pengawalan di rantau ini dan setakat ini, negara-negara lain tidak berdepan masalah dengan Moderna namun pihak kementerian akan sentiasa memantau vaksin tersebut kerana keselamatan rakyat sangat diutamakan.