Saturday, May 10, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaksin Moderna untuk dos penggalak

    Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Vaksin Moderna berjumlah 100,000 dos yang diterima dari Republik Singapura, semalam, akan digunakan sebagai dos penggalak yang mana ia akan diberikan kepada barisan hadapan dan diikuti orang ramai.

    Dalam usaha memberikan dos penggalak itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menasihatkan semua orang untuk mendapatkannya yang mana akan dilaksanakan secara berperingkat.

    Yang Berhormat Dato menyatakan perkara itu semasa menjawab persoalan mengenai dos vaksin berkenaan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Beliau turut menjelaskan bahawa hanya vaksin Moderna dan Pfizer saja yang digunakan sebagai dos penggalak dan tempoh untuk mendapatkannya, dalam perancangan sekurangnya enam bulan setelah pengambilan dos kedua.

    Semalam, sebanyak 100,000 dos vaksin Moderna telah selamat tiba di Negara Brunei Darussalam dari Singapura dengan menggunakan penerbangan BI422.

    Vaksin Moderna yang tiba dari Singapura pada 28 September lalu. – Gambar oleh Infofoto

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, penghantaran vaksin Moderna berkenaan merupakan sebahagian daripada kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura untuk menangani pandemik
    COVID-19.

    Kenyataan menjelaskan lanjut bahawa Negara Brunei Darussalam akan menyediakan kuantiti vaksin yang sama untuk Singapura apabila bekalan vaksin mudah diperoleh di dalam negara.
    Negara Brunei Darussalam dan Singapura mempunyai hubungan persahabatan yang rapat termasuk dalam membendung pandemik COVID-19.

    Pada Ogos 2021, Singapura telah menyumbangkan sebanyak 100,000 dos vaksin Moderna COVID-19 kepada Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan, pada sidang media itu menyatakan bahawa kerajaan sangat menghargai, apa juga pertolongan kerajaan Republik Singapura dalam memberi bantuan kepada negara dalam mengawal penularan wabak ini dengan lebih cepat.

    Menyentuh mengenai vaksinasi secara walk ini, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ia masih lagi diberikan kepada golong warga emas dan wanita mengandung untuk Moderna.

    “Vaksin Astrazeneca dan Sinopharm juga masih mencukupi untuk orang ramai,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda