Vaksin Pfizer – BioNtec digunakan minggu depan

LONDON, 2 DIS – Britain hari ini menjadi negara barat pertama untuk meluluskan vaksin COVID-19 bagi kegunaan umum ketika mereka mengumumkan pelancaran ubat Pfizer-BioNTech bermula minggu hadapan.

“Pihak kerajaan hari ini menerima cadangan daripada Agensi Kawalan Ubat-ubatan dan Kesihatan (MHRA) untuk meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk digunakan,” menurut kenyataan dari jabatan kesihatan.

“Vaksin akan tersedia di seluruh UK bermula minggu hadapan,” jelas kenyataan.

Golongan yang diutamakan termasuk rumah penjagaan, kakitangan dan penjagaan kesihatan, warga emas dan mereka yang mudah terdedah kepada jangkitan.

Selepas beberapa bulan menjalani ujian klinikal ‘ketat’ dan analisis data menyeluruh, MHRA ‘menyimpulkan bahawa vaksin itu telah memenuhi standard keselamatan, kualiti dan keberkesanan,’ tambah kenyataan.

“Untuk membantu kejayaan program pemvaksinan, adalah amat penting untuk semua orang supaya terus memainkan peranan masing-masing dan mematuhi sekatan yang dilaksanakan di kawasan mereka agar mereka mampu membendung virus dan memboleh-kan NHS melakukan tugas mereka tanpa merasa terbeban.”

Pengerusi Pfizer, Albert Bourla berkata ini merupakan ‘saat bersejarah dalam usaha memerangi COVID-19’.

“Kelulusan ini merupakan matlamat utama yang telah kami usahakan sejak kami mengisytiharkan bahawa sains mampu menewaskannya, dan kami memuji MHRA atas kemampuan mereka untuk menjalankan penilaian teliti dan mengambil tindakan segera untuk membantu melindungi warga UK,” katanya.

Pfizer dan BioNTech menambah bahawa mereka menjangkakan keputusan pengaturan selanjutnya dari negara lain ‘dalam tempoh beberapa hari dan minggu akan datang’.

Pengumuman dibuat ketika Britain melonggarkan sekatan koronavirus selama beberapa bulan, tetapi kebanyakan negara masih dikenakan sekatan ketika sistem serantau baharu untuk mengurangkan kadar jangkitan diperkenalkan. – AFP

Britain mengumumkan bahawa mereka meluluskan vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech bagi kegunaan umum bermula minggu hadapan.- AFP