THE HAGUE, 30 MEI – Badan pemantauan ubat Kesatuan Eropah (EU) semalam meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer/BioNTech dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun, vaksin pertama yang diberi kebenaran ke atas kanak-kanak di negara blok itu.
Vaksin itu dikatakan berfungsi dengan baik kepada penerima dalam kalangan remaja dan tiada kebimbangan serius mengenai kesan sampingan, menurut Agensi Ubat-Ubatan Eropah yang berpangkalan di Amsterdam.
Langkah itu akan mendorong program vaksinasi yang menyeluruh di Eropah, dengan Jerman akan mula memberikan suntikan itu kepada kanak-kanak berusia lebih 12 tahun mulai bulan depan.
Sebelum ini Amerika Syarikat dan Kanada sudah membenarkan Pfizer untuk remaja.
“Seperti yang dijangkakan, Jawatankuasa Agensi Perubatan Eropah (EMA) hari ini bersetuju memberi kelulusan penggunaan vaksin Pfizer/BioNTech kepada remaja dari 12 hingga 15 tahun,” kata Ketua Strategi Vaksin EMA, Marco Cavaleri pada sidang media.

Setakat ini, vaksin dihasilkan syarikat gergasi farmasi AS Pfizer dan firma penyelidikan Jerman BioNTech hanya dibenarkan oleh EU untuk individu berusia 16 tahun ke atas.
Pesuruhjaya Kesihatan EU, Stella Kyriakides menyifatkan ia sebagai selangkah lebih dekat untuk mengakhiri pandemik.
Bagaimanapun beliau menegaskan, orang ramai masih mempunyai pilihan sama ada untuk memberikan kebenaran atau sebaliknya kepada anak-anak mereka.
“Ia di luar keputusan kerajaan, ini akhirnya adalah keputusan yang harus dibuat oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka,” katanya di Twitter.
Dengan negara-negara EU berusaha memperluas program vaksinasi, Ketua EMA, Emer Cooke, berkata pengawal selia memberikan kelulusan cepat, yang awalnya diharapkan pada bulan depan.
Badan pemantauan menegaskan mereka mengambil langkah yang diperlukan untuk memastikan vaksin itu selamat. – AFP