Friday, May 9, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaksin: Polis nasihat jangan hasut

    ARAU, 26 FEB – Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak di Malaysia yang cuba menghasut rakyat supaya tidak mengambil vaksin COVID-19 dengan menyebar maklumat palsu bagi memburukkan penggunaannya.

    Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata polis sentiasa melakukan pemantauan di media sosial bagi tujuan itu.

    Katanya perbuatan menghasut boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan kepada orang awam selain boleh diambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menimbulkan rasa takut terhadap orang awam.

    “Apa yang penting adalah vaksin ini selamat digunakan apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima 100 bungkusan makanan bagi program Singgah FrontLiner anjuran Persatuan Wartawan Perlis (PWP) di Sekatan Jalan Raya (SJR) Ulu Pauh di sini hari ini.

    Turut hadir dalam program pertama anjuran PWP yang baru ditubuhkan awal tahun ini ialah Presiden PWP Mohamad Asri Shafii, Exco Teknologi Maklumat dan Komunikasi Rozieana Ahmad serta beberapa sukarelawan.

    Rozieana berkata kewujudan PWP tepat pada masanya dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat dan mengajak masyarakat lebih menghargai peranan petugas barisan hadapan dalam melindungi orang ramai daripada bahaya wabak COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda