Vaksin, SOP ‘kunci’ bendung trend kes harian tinggi di Sabah

KOTA KINABALU, 24 OGOS – Kes harian COVID-19 yang tinggi di Sabah sehingga mencecah empat angka sejak kebelakangan ini dengan 3,376 kes dicatat hari ini, sememangnya amat meresahkan rakyat di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata keresahan rakyat itu amat difahami kerajaan negeri dan meningkatkan kadar vaksinasi dilihat mampu menjadi ‘kunci’ utama mengekang trend kes harian tinggi itu.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata selain vaksinasi, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan rakyat terutama ketika berada di kawasan awam juga memainkan peranan penting ketika Sabah berdepan corak jangkitan sporadik ketika ini.

“Hampir seluruh dunia melihat vaksin sebagai kunci menurunkan jumlah jangkitan COVID-19 dan dalam masa yang sama pematuhan kepada SOP, jadi ini perlu menjadi fokus utama (bagi menyekat trend kes tinggi).

“Jumlah kes akan menurun apabila jumlah penduduk yang telah divaksin sampai kepada satu jumlah yang signifikan dan pematuhan SOP tinggi. Ini kerana jumlah mereka yang boleh dijangkiti COVID-19 akan berkurangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata setakat semalam, lebih 1.47 juta penduduk negeri ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, dan 854,228 penduduk telah menerima dos kedua vaksin itu, manakala lebih 1.52 juta penduduk telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin tersebut. – Bernama