Oleh Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Seramai 44 orang telah tampil menerima vaksinasi semasa Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan di Kampung Bolkiah, hari ini.
Daripada jumlah itu, Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menyatakan, lima orang berada di rumah di mana vaksinasi bergerak mengunjungi rumah penerima dan daripada jumlah itu juga, penerima vaksin yang paling tua berusia 86 tahun.
Semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato menyatakan, vaksinasi bergerak ke kampung-kampung yang telah dilaksanakan sejak bulan lalu itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan, ke arah mencapai peratus vaksinasi yang dihasratkan.
Sementara itu, Media Permata berkesempatan meninjau pelaksanaan perkhidmatan vaksinasi bergerak berkenaan yang diadakan di Klinik Kesihatan Kampung Bolkiah, di mana ia bermula seawal 9 pagi hingga 2:30 petang
Pegawai Kesihatan Awam, Dayangku Fathin Nabilah binti Pengiran Haji Damit ketika ditemui menjelaskan bahawa perkhidmatan sehari tersebut telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada para penduduk setempat khusus bagi mereka yang tinggal di Kampung Bolkiah A dan B dan sekitarnya serta kawasan persekitaran Mukim Sungai Kebun.
Beliau menyatakan bahawa sebanyak 250 slot vaksinasi telah disediakan pada bagi mereka yang ingin mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19.
Perkhidmatan tersebut turut membolehkan para penduduk setempat mendapatkan suntikan COVID-19 secara walk-in.
Pada kesempatan itu, beliau turut menasihatkan dan menyeru orang ramai yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 agar dapat tampil mendapatkannya sama ada menerusi Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak mahupun di pusat-pusat vaksinasi yang disediakan di seluruh negara.
Manakala itu, salah seorang penduduk setempat yang tampil mendapatkan suntikan di klinik tersebut, Awang Mohammad Ramzi @ Mohammad Syafiq bin Ramli mengongsikan bahawa beliau mengetahui mengenai
perkhidmatan tersebut melalui aplikasi WhatsApp dan mengambil kesempatan emas tersebut untuk menghadirinya bersama keluarga dan rakan bagi mendapatkan suntikan vaksin mereka.
Beliau turut memuji kelancaran proses vaksinasi yang dijalankan bermula daripada proses pendaftaran sehingga selesai semua proses vaksinasi tersebut yang hanya memakan masa kurang daripada satu jam secara keseluruhannya.