Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan dijalankan lagi selama tiga hari pada 2, 3 dan 5 Disember ini di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, perkhidmatan tersebut akan diadakan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Jumaat dan 9 pagi hingga 2:30 petang pada Ahad.
Menurut beliau, perkhidmatan itu khusus bagi penduduk Mukim Pengkalan Batu dan kawasan persekitaran yang berumur 18 tahun ke atas, yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 dan juga yang dijadualkan untuk vaksinasi dos kedua.
“Di samping itu juga, perkhidmatan vaksinasi dari rumah ke rumah akan diadakan pada 2 Disember,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi semasa sidang media harian di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus dan bagi mereka yang memerlukan bantuan kenderaan untuk dibawa ke klinik, mereka bolehlah memaklumkan kepada ketua kampung.
“Bagi yang tidak dapat hadir di-sebabkan masalah kesihatan, mereka boleh mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.