Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Vaksinasi budak 5-11 tahun bantu lindungi keluarga

    Oleh Sim Y. H.

    COVID merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus yang dipanggil koronavirus dan kanak-kanak yang dijangkiti COVID berkemungkinan tidak akan menunjukkan sebarang simptom atau cuma menunjukkan satu atau lebih simptom, biasanya jangkitan saluran pernafasan atas.

    Antara simptom COVID adalah seperti demam, batuk, sesak nafas dan keletihan di mana simptom itu juga boleh disebabkan oleh penyakit virus lain seperti demam biasa, selesema atau bronkiolitis dalam kanak-kanak. Sementara, segelintir kanak-kanak juga boleh mengalami cirit-birit dan muntah tetapi jarang sekali, jangkitan COVID dalam kanak-kanak menyebabkan pneumonia dan masalah pernafasan teruk.

    Pada masa ini di Negara Brunei Darussalam, hanya vaksin COVID Pfizer-BioNTech (paediatric formulation) diluluskan bagi kegunaan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, jelas Kementerian Kesihatan dalam kenyataan soalan-soalan lazim mengenai vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Kesihatan.

    Kenyataan itu menyatakan bahawa pemberian vaksin COVID bagi kanak-kanak juga telah dilaksanakan di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Singapura, Malaysia, Australia dan New Zealand dengan lebih banyak negara telah melaksanakan atau telah mengumumkan perancangan untuk melaksanakan pemberian vaksin kepada kumpulan kanak-kanak berkenaan.

    Semua kanak-kanak yang bermula lima tahun dan ke atas yang menetap di Negara Brunei Darussalam dan layak dari segi perubatan untuk menerima vaksin itu, jelas kenyataan berkenaan lagi.

    Jadual yang disyorkan bagi vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun adalah dua dos paediatric formulation dengan selang waktu sekurang-kurangnya 21 hari di antara dos di mana satu dos paediatric formulation ialah 10mcg (0.2 mililiter).
    Kesan sampingan kanak-kanak yang menerima vaksin COVID-19 adalah serupa dengan warga dewasa seperti keletihan, sakit otot dan sendi, demam ringan dan sakit kepala.

    Mengulas mengenai persoalan jika kanak-kanak berusia bawah lima tahun dapat menerima vaksin COVID, kenyataan menyatakan bahawa pada masa ini, tidak akan data keberkesanan atau keselamatan bagi kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan sehingga terdapatnya data berkenaan, kanak-kanak berusia bawah lima tahun tidak akan ditawarkan vaksin itu.

    Vaksinasi boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan dan penyakit teruk bagi kanak-kanak. Secara umumnya, kanak-kanak menunjukkan gejala COVID yang ringan berbanding orang dewasa. Walaupun majoriti kanak-kanak menunjukkan gejala yang ringan apabila dijangkiti, sebilangan kanak-kanak boleh menghidapi penyakit yang mengancam nyawa dan komplikasi lewat yang teruk seperti multisystem inflammatory syndrome dalam kanak-kanak (MIS-C) serta memerlukan rawatan di unit penjagaan rapi.

    Vaksinasi kanak-kanak juga akan membantu untuk melindungi ahli keluarga yang lain termasuk adik-beradik yang masih belum layak untuk divaksinasi dan ahli keluarga yang mungkin mempunyai risiko meningkat mendapatkan penyakit teruk jika mereka dijangkiti, mengurangkan penularan COVID dalam komuniti serta memberikan kanak-kanak lapisan perlindungan tambahan di sekolah atau ketika mengambil bahagian dalam sukan dan kegiatan berkumpulan yang lain.

    Adalah tidak mandatori bagi kanak-kanak untuk mendapatkan vaksin COVID tetapi ia adalah amat digalakkan bagi semua kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke atas yang layak secara perubatan untuk mengambil vaksinasi apabila mereka layak untuk mendapatkannya. Dengan mendapatkan vaksin, mereka mengurangkan kemungkinan dijangkiti COVID dan mencegah penyakit-penyakit terus jika dijangkiti.

    Di samping itu, vaksinasi juga akan melindungi keluarga dan komuniti yang lebih luas, jelas kenyataan berkenaan.

    Menjawab persoalan adakah vaksin COVID selamat dan efektif bagi kanak-kanak, kenyataan menyatakan bahawa Jawatankuasa Teknikal bagi Vaksinasi COVID-19, Kementerian Kesihatan telah menyemak keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID Pfizer-BioNTech (paediatric formulation) berasaskan ujian klinikal bagi kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun.

    Ujian klinikal itu telah menunjukkan vaksin COVID-19 adalah selamat dan efektif bagi kanak-kanak dan manfaat vaksin COVID Pfizer-BioNTech mengatasi risikonya.

    Profil keselamatan vaksin dalam penduduk muda adalah konsisten dengan penduduk yang berusia 12 tahun dan ke atas serta standard yang ditetapkan bagi vaksin-vaksin lain yang didaftarkan bagi kegunaan dalam imunisasi terhadap penyakit-penyakit lain. Kesan samping biasa dalam kanak-kanak yang menerima vaksin itu adalah secara umumnya ringan ke sederhana di mana ia akan selesai atau hilang secara sendirinya dalam tempoh beberapa hari.

    Data keselamatan yang dilaporkan daripada negara-negara lain selepas penggunaan rutin dos kanak-kanak bagi vaksin Pfizer-BioNTech mengesahkan dapatan kadar yang lebih rendah bagi semua reaksi apabila dibandingkan kepada dos penuh dalam kanak-kanak yang lebih tua dan warga muda.

    Manakala itu, mengulas persoalan jika vaksin COVID menyebabkan myocarditis dan pericarditis, kenyataan menyatakan bahawa dalam kes yang sangat jarang berlaku, myocarditis dan pericarditis mungkin berlaku, kebanyakannya pada remaja lelaki dan dewasa muda di bawah 30 tahun. Namun begitu, kes-kes berkenaan adalah biasanya ringan dan pulih dengan baik.

    Semasa ujian klinikal, tiada kes myocarditis berlaku dalam kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin COVID. Risiko komplikasi jantung termasuk myocarditis, adalah lebih tinggi selepas jangkitan COVID daripada selepas vaksinasi.

    Jadual yang disyorkan adalah dua dos paediatric formulation dengan selang waktu sekurang-kurangnya 21 hari di antara dos di mana satu dos paediatric formulation ialah 10mcg (0.2 mililiter). Ia akan diberikan sebagai suntikan ke dalam otot lengan atas kanak-kanak berkenaan.

    Kanak-kanak adalah disyorkan untuk mendapatkan dua dos vaksin bagi mencapai perlindungan optimum daripada COVID dan pada masa ini, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah menerima dua dos vaksin memerlukan dos penggalak.

    Namun begitu, Kementerian Kesihatan akan memantau dengan dekat keadaan yang berubah dan bukti bagi keperluan vaksinasi COVID serta akan memberikan makluman kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

    Manakala itu, mengulas persoalan, siapa yang tidak dapat menerima vaksinasi, kenyataan menerangkan bahawa kanak-kanak yang tidak harus mendapatkan vaksinasi jika kanak-kanak itu mempunyai sejarah reaksi alahan terus seperti anaphylaxis, selepas daripada dos sebelumnya atau kepada satu komponen vaksin COVID-19, diketahui alahan didiagnosis kepada satu komponen vaksin serta mempunyai sejarah myocarditis atau pericarditis selepas dos pertama.

    Kanak-kanak berkenaan boleh mendapatkan vaksinasi mereka de-ngan membuat perjanjian menerusi aplikasi BruHealth atau secara walk-in di pusat-pusat vaksinasi bagi Daerah Brunei dan Muara di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Pusat Kesihatan Jubli Emas Bunut, bagi Daerah Tutong di Dewan Seri Kenangan, Pekan Tutong, bagi Daerah Belait di Pusat Pembangunan Pembelajaran, Hospital Suri Seri Begawan dan bagi Daerah Temburong di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Temburong.

    Kesan sampingan kanak-kanak yang menerima vaksin COVID-19 adalah serupa dengan warga dewasa di mana mereka juga boleh mengalami lebih banyak kesan sampingan selepas dos kedua vaksinasi. Kesan-kesan sampingan yang dilaporkan adalah ringan dan serupa dengan yang dialami selepas menerima vaksin rutin di mana ia akan hilang dalam masa beberapa hari.

    Kesan-kesan sampingan yang biasa dialami adalah sakit pada tempat penyuntikan, keletihan, sakit otot dan sendi, demam ringan dan sakit kepala.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...