Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Vaksinasi tetap memainkan peranan utama dalam menangani apa sahaja varian yang sudah wujud atau bakal terjadi, dengan kata lain, suntikan vaksin begitu penting untuk mencegah dan mengawal penularan yang berlaku.
Selain itu, perlu diketahui bahawa vaksinasi bukanlah satu-satunya langkah pencegahan dan pengawalan penularan wabak ini tetapi dikuatkan lagi dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) tertentu seperti memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan sebagainya.
Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan pihak Kementerian Kesihatan akan menjalankan beberapa penilaian tertentu mengenai varian baharu Omicron untuk mengetahui dapatan lebih lanjut demi mencapai usaha mengurangkan dan mengawal jangkitan.
Antara beberapa perkara yang perlu diketahui dan difahami adalah seperti bagaimana langkah pengesanan virus, vaksinasi untuk menilai kekebalannya, cara virus ini merebak dan juga kesan jika dijangkiti. Perkara-perkara ini akan mengambil masa untuk pihak kementerian melaksanakan penelitian lanjut sepenuhnya.
“Walau bagaimanapun, dapatan awal di salah sebuah negara Eropah mendapati berlaku
penurunan tahap kekebalan vaksin dari segi mencegah gejala berkemungkinan dari 95 peratus ke 90 peratus, namun apa yang penting ialah ia masih mampu mencegah dari gejala yang lebih serius. Di Afrika Selatan turut mendapati, kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan,” kongsi Yang berhormat Dato.
Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan kenyataan dakwaan yang telah dilaporkan, berkemungkinan pihak saintis tersebut merujuk kepada kurang kekebalan vaksin namun disalahtafsirkan oleh kalangan wartawan ketika membuat laporan mengenainya.
“Apa yang penting ialah hasil dapatan yang diperoleh dari seluruh dunia terutama negara-negara yang telah berdepan dengan varian baharu ini adalah dari segi keadaan yang dialami oleh para pesakit mereka.
“Setakat ini hanya didapati mereka yang mengalami jangkitan varian baharu berkenaan memiliki gejala yang ringan,” ujarnya lagi.
