Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Bermula 1 Oktober ini, waktu perkhidmatan vaksinasi di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup bagi orang ramai yang belum menerima dos pertama akan ditambah iaitu dari 8 pagi hingga 8 malam.
“Perkhidmatan ini adalah bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang memegang kad pintar berwarna kuning atau ungu sahaja dan yang menghadapi masalah untuk menempah slot vaksinasi dos pertama melalui aplikasi BruHealth,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media situasi terkini jangkitan COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut beliau lagi, perkhidmatan tersebut hanya diberikan secara tempahan sahaja yang mana tempahan boleh dilakukan melalui panggilan, pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp ke nombor-nombor tertentu mengikut slot yang dipilih.
Slot 1 dari 8 pagi hingga 10 pagi, nombor yang dihubungi untuk menempah slot ialah 7460021 dan 7460022; Slot 2 dari 10 pagi hingga 12 tengah hari menerusi talian 7460023 dan 7460024; Slot 3 dari 12 tengah hari hingga 2 petang di talian 7460025 dan 7460026; Slot 4 dari 2 petang hingga 4 petang di talian 7460027 dan 7460028;
Manakala itu, nombor untuk tempahan Slot 5 dari 4 petang hingga 6 petang ialah 7460029 dan 7460030 serta Slot 6 dari 6 petang hingga 8 malam di talian 8341148 dan
8351148.
Yang Berhormat Dato turut memaklumkan vaksinasi secara walk-in pada Jumaat ditiadakan.
“Maklumat yang diperlukan semasa membuat tempahan slot adalah nama penuh, nombor kad pintar, nombor BruHIMS (jika ada) dan nombor telefon untuk mudah dihubungi,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.
Bagi perkhidmatan pada 1 Oktober ini, tempahan akan mula dibukakan pada hari ini dari pukul 6 petang hingga 11 malam dan akan disambung esok (30 September) dari 8 pagi hingga slot habis diisikan. Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa sebanyak 2,000 slot disediakan bagi hari tersebut.
Kementerian Kesihatan juga mengongsikan bahawa kemas kini slot bagi vaksinasi 1 Oktober ini akan disiarkan setiap jam melalui Instagram kementerian iaitu @mohbrunei.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga sedang merancang untuk memberikan waktu vaksinasi tambahan khas bagi pekerja-pekerja di syarikat-syarikat tempatan, sama ada warga tempatan atau warga asing pada setiap Ahad.
