Vaksinasi pas bagi pembukaan semula

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dalam mempertimbangkan pembukaan semula seperti masjid yang dikemukakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) baru-baru ini, salah satu caranya ialah penggunaan vaksin sebagai pas untuk membuka yang lain.

“Walau bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan bersama oleh jawatankuasa khas bagi menangani COVID-19 dan ia merupakan salah satu kaedah difikirkan yang akan membolehkan kita untuk hidup dalam norma baharu.”

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) ketika mengulas mengenai soalan pembukaan semula premis-premis termasuk tempat kerja, sekolah, tadika, pawagam dan tempat hiburan apabila mencapai kadar vaksinasi lengkap sekurang-kurangnya 70 peratus pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Terdahulu dalam penerangannya, Yang Berhormat Dato berkata bahawa sebelum negara dilanda gelombang kedua penularan jangkitan wabak COVID-19, kerajaan juga melaksanakan pembukaan secara berperingkat-peringkat di mana terdapat langkah-langkah yang dilaksanakan sebelum acara termasuk riadah dan ekonomi boleh dibuka semula terutama sekali dengan penggunaan BruHealth.

Beliau menerangkan lagi bahawa pada masa yang sama, mereka juga melihat keadaan sekeliling terutama negara jiran dan negara-negara lain di rantau ini yang sudah membuka persekitaran mereka untuk ekonomi dan beriadah.

“Dalam perkara itu, kita turut memerhati bagaimana mereka menghadapi pembukaan itu dengan norma yang baharu dan dengan kaedah-kaedah apa yang mereka gunakan iaitu jika masih menggunakan pelitup muka, mengamalkan penjarakan atau pas vaksin,” ujarnya.

Semua itu, ulasnya, memberikan kita masa untuk memikirkan kaedah terbaik serta dalam membuat keputusan bagi pembukaan berkenaan dan menghadapi perjalanan untuk menjangkau kadar 80 peratus vaksinasi, kita akan dapat membuat pemantauan serta penilaian daripada pengalaman negara-negara yang telah melaksanakan pembukaan dengan norma baharu itu.

Beliau berkata bahawa dalam masa yang terdekat terutama sekali apabila negara mencapai kadar vaksinasi 80 peratus serta dengan penelitian oleh jawatankuasa yang ada, penerangan yang lebih lanjut dapat diberikan mengenai bagaimana negara akan dapat menghadapi norma baharu iaitu ke arah mencapai keadaan endemik.