Vaksinasi remaja Sarawak bermula

KUCHING, 8 SEPT – Sarawak hari ini memulakan pelaksanaan vaksinasi COVID-19 untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun dengan sasaran melengkapkan dos vaksin bagi golongan itu sebelum 3 Oktober, iaitu tarikh sesi persekolahan dimulakan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata seramai 96,400 remaja dalam lingkungan umur berkenaan akan menerima vaksin COVID-19 yang mewakili 3.4 peratus daripada jumlah penduduk Sarawak.

“Proses vaksinasi dijalankan di pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan sekolah-sekolah, sementara klinik kesihatan akan memberikan vaksinasi kepada remaja yang tidak bersekolah dan pelajar asrama yang masih berada di kampung masing-masing,” katanya.

Bercakap dalam sidang media selepas meninjau PPV untuk remaja di Klinik Kesihatan Telaga Air, kira-kira 25km dari sini, beliau berkata remaja berusia antara 12 dan 15 tahun yang berjumlah 192,800 orang di Sarawak akan divaksinasi penghujung September ini dengan dimulai dengan mereka yang komorbid.

“Untuk remaja yang berusia antara 12 dan 15 tahun, mereka dijangka akan lengkap divaksinasi dalam minggu keempat Oktober ini,” katanya.

Abang Johari berkata Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak semalam telah dilantik untuk mengendalikan sistem pengurusan pemberian vaksinasi COVID-19 untuk murid dan pelajar sekolah.

“Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak mereka yang layak untuk menerima vaksin COVID-19 di PPV khas yang ditetapkan, klinik serta menerusi program outreach (jangkau luar) yang dijalankan di sekolah-sekolah,” katanya.

Bagi Bahagian Kuching, sebanyak 69 sekolah dan 20,990 pelajar berumur 16 hingga 17 tahun akan menerima vaksin ini manakala di PPV Klinik Kesihatan Telaga Air, 758 remaja dari dua sekolah menengah berdekatan mendapat suntikan vaksin masing-masing. – Bernama

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri) meninjau proses pelaksanaan vaksinasi untuk remaja berumur di bawah 18 tahun di Klinik Kesihatan Kampung Telaga Air. – Bernama