Valencia bantu Everton benam Saints

LIVERPOOL, 3 Jan – Enner Valencia keluar dari bangku simpanan bagi menghasilkan impak besar apabila penyerang Ecuador itu telah memberikan inspirasi dalam kemenangan 3-0 Everton ke atas Southampton semalam.

Valencia belum menjaringkan sebarang gol kelab sejak menghasilkan dua gol bagi West Ham ketika menentang Manchester City pada Januari 2016.

Tetapi pemain berusia 27 tahun itu kembali dalam senarai penjaring di Goodison Park apabila menjaringkan gol pertamanya dalam 12 penampilan sejak menyertai melalui pinjaman dari West Ham.

Jaringan Valencia di separuh masa kedua diikuti oleh dua jaringan lewat dari Leighton Baines dan Romelu Lukaku, memastikan pengurus Everton, Ronald Koeman dapat menikmati permulaan 2017 dengan kemenangan ke atas bekas kelabnya.

Ross Barkley (kiri) berebut mendapatkan bola dengan pemain Southampton, Dusan Tadic dalam aksi Liga Perdana di Goodison Park semalam. – AP
Ross Barkley (kiri) berebut mendapatkan bola dengan pemain Southampton, Dusan Tadic dalam aksi Liga Perdana di Goodison Park semalam. – AP

Koeman telah memberikan permulaan pertama bagi penyerang berusia 19 tahun, Dominic Calvert-Lewin, tetapi peluangnya hanya 11 minit apabila mengalami kecederaan dan terpaksa dikeluarkan.

Selepas minit ke-61, Valencia masuk bagi menggantikan Aaron Lennon dan pemain gantian itu memecahkan kebuntuan 12 minit kemudian dengan penyudah jarak dekat.

Jaringan kedua Everton sebahagian besarnya berpunca daripada ancaman Valencia yang direbahkan oleh pemain pertahanan Saints, Maya Yoshida di minit ke-81, dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil yang kemudiannya disudahi oleh Baines.

Lukaku memastikan kemenangan Everton di minit ke-89 apabila penyerang Belgium menerima hantaran daripada Tom Davies dan merembatnya di sudut atas gawang. – AFP