SILVERSTONE, 17 Julai – Valtteri Bottas menggariskan statusnya sebagai pencabar sebenar bagi kejuaraan dunia tahun ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua, dari grid sembilan, dalam Grand Prix British.
Warga Finland itu, yang telah menggantikan juara dunia 2016, Nico Rosberg, yang sudah bersara sebagai rakan sepasukan Lewis Hamilton di Mercedes, kini hanya 23 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Sebastian Vettel dari Ferrari.
Hamilton memenangi perlumbaan kelmarin dengan persembahan penuh dominan dari awal hingga akhir, dan Vettel menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas masalah tayar di beberapa pusingan akhir menghalangnya daripada berada di atas podium.
“Bagi kami sebagai pasukan adalah sempurna hujung minggu ini, terutamanya berdasarkan keadaan dan di mana kami telah memulakan perlumbaan, grid kesembilan,” kata Bottas.
“Ia adalah luar biasa apa yang kami lakukan hari ini (kelmarin). Kereta sangat hebat dipandu, sangat pantas, dan pasukan telah membuat keputusan untuk membahagikan strategi antara Lewis dan saya.

“Saya bermula dengan tayar lembut dan sebenarnya bertahan lebih lama berbanding yang telah dirancang, apabila kami melebihkan pemanduan awal dengan lebih lama, kerana semuanya dalam keadaan baik.
“Dia akhir perlumbaan, kami menggunakan tayar super lembut, saya mempunyai tayar baru, berjaya memintas Sebastian dan mengejar Kimi, tetapi secara realistiknya dia mungkin terlalu jauh untuk saya kejar.
“Tetapi saya bernasih baik, Kimi tidak begitu bernasih baik dan kehilangan tempat kedua. Akhirnya 18 mata adalah keputusan yang sempurna untuk saya.” – AFP