BARCELONA, 30 Mei – Jurulatih dari Sepanyol, Ernesto Valverde dipilih menjadi orang yang akan menghidupkan semula kegemilangan Barcelona selepas disahkan menjadi bos baru gergasi Catalan itu dalam perjanjian selama dua tahun.
“Valverde mempunyai kebolehan, pertimbangan, pengetahuan dan pengalaman. Dia menaikkan pemain-pemain belia dan mempunyai gaya Barca,” kata presiden kelab, Josep Bartomeu di satu sidang media semalam.
Valverde, yang dalam kontraknya termasuk pilihan bagi musim ketiga, akan dirasmikan sebagai jurulatih baru Khamis ini.
Valverde, 53, bekas pemain Barca, meninggalkan Athletic Bilbao selepas empat tahun mengendalikan kelab itu pada minggu lepas, menggantikan Luis Enrique dengan tugasan menangani barisan pemain bintang yang antaranya terdiri daripada Lionel Messi, Neymar dan Luis Suarez.
Luis Enrique telah mengundur diri selepas tiga musim mengendalikan kelab dengan menjulang sembilan trofi bersama Barca.

Namun, tekanan harian yang tinggi di Camp Nou telah memaksanya mengumumkan untuk meninggalkan Barca akhir musim ini pada bulan Mac lalu, sebelum Barca terlepas kedua gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara musim ini.
Meskipun tidak begitu dikenali di luar Sepanyol, Valverde mempunyai pengalaman kejurulatihan yang luas, sudah terlibat dalam lebih 500 perlawanan.
Satu-satunya penghormatan sebagai pemain adalah dua tahun di Barcelona di bawah Johann Cruyff antara tahun 1988 dan 1990, di mana dia telah menjulang Piala Pemenang Piala dan Copa del Rey.
Bagaimanapun, Valverde secara konsisten bijak dalam menggunakan sumber-sumber di bawah kendaliannya sebagai jurulatih di Athletic, Olympiakos, Espanyol, Villarreal dan Valencia.
Bahkan, ketenangan Valverde telah menarik minat lembaga Barca berbanding keagresifan Jorge Sampaoli, yang dijangkan meninggalkan Sevilla bagi mengendalikan skuad antarabangsa Argentina.
“Dia lebih berpengalaman berbanding saya. Dia akan menikmatinya,” kata Luis Enrique apabila ditanya mengenai nasihat apa yang akan diberikan kepada Valverde selepas kemenangan 3-1 ke atas Alaves dalam perlawanan terakhirnya sebagai bos Barca. – AFP