JEBEL HAFEET, 26 Feb – Alejandro Valverde, yang menunggang buat Movistar, telah memenangi Tour of Abu Dhabi semalam, mengetepikan saingan Miguel Angel Lopez dari Astana dalam pendakian yang mengakhiri perlumbaan selama lima hari itu.
Satu-satunya pendakian penting perlumbaan adalah pendakian 10 kilometer Jebel Hafeet, yang menyaksikan persaingan sengit antara Valverde dan Lopez.
Jualian Alaphilippe dari Quick-Step menamatkan di kedudukan ketiga, ketinggalan 15 saat di akhir peringkat kelima sejauh 199 kilometer.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Valverde. “Sebelum itu, saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan atas kerja keras sepanjang minggu, melindungi pendahuluan saya hingga hujung minggu dan pendakian hari ini (kelmarin).
“Ia adalah kemenangan Jelajah Dunia pertama kami musim ini, yang menjadikannya lebih penting menentang pasukan-pasukan besar.”
Antara penunggang pilihan ialah Tom Dumoulin, yang menghadapi masalah tayar pancit semasa uji masa Sabtu lalu, ditimpa dengan masalah mekanikal dalam pendakian terakhir itu.
Rohan Dennis daripada Pasukan BMC, yang memulakan hari dengan jersi pendahulu (merah), menamatkan perlumbaan satu minit dan 45 saat di belakang Valverde.
Dalam klasifikasi keseluruhan, Valverde menamatkan 17 saat di depan Wilco Kelderman dari Sunweb. Lopez di tangga ketiga, ketinggalan 12 saat lagi di belakang. – AFP