DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 1 OGOS – Saudi Aramco mengumumkan perjanjian AS$2.65 bilion hari ini untuk memiliki perniagaan produk global Valvoline, yang termasuk minyak motor, cecair transmisi, penyejuk dan produk penyelenggaraan automotif lain.
Valvoline berkata transaksi itu akan memisahkan produk globalnya daripada perniagaan perkhidmatan runcit, mengubahnya menjadi penyedia perkhidmatan automotif.
Syarikat berusia lebih 150 tahun itu beroperasi dan mempunyai francais sekitar 1,700 pusat servis, dengan kedai di seluruh Amerika Syarikat menawarkan penukaran minyak dan perkhidmatan segera yang lain.
Valvoline menyatakan perjanjian tersebut juga akan membantunya mempercepatkan penumpuan pada servis kereta kenderaan elektrik. Ia sudah menjadi pembekal utama cecair bateri kepada pengeluar kenderaan elektrik.
Valvoline berkata ia menjangka menggunakan anggaran hasil tunai bersih berjumlah AS$2.25 bilion untuk mengembalikan modal kepada pemegang saham menerusi pembelian balik saham, mengurangkan hutang dan melabur dalam perniagaan perkhidmatan runcitnya.
Perjanjian itu tertakluk kepada kelulusan pengawal selia, dijangka menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan. – AP
