GLASGOW, 7 OGOS – Pelumba Belanda, Mathieu van der Poel memenangi kejuaraan dunia perlumbaan jalan raya lelaki di Glasgow semalam dengan pecutan solo lewat selepas perlumbaan sejauh 271km yang bermula di Edinburgh dan berakhir dengan sepuluh litar di Glasgow.
Wout van Aert dari Belgium menduduki tempat kedua dengan juara Tour de France dua kali, Tadej Pogacar dari Slovenia di tempat ketiga dalam perlumbaan yang disekat selama sejam oleh penunjuk perasaan iklim yang membanjiri jalan ketika penunggang melalui kawasan pedalaman terpencil.
Van der Poel yang berusia 28 tahun adalah antara pelumba pilihan selepas turut memenangi acara jarak jauh Milan-San Remo (299km) dan Paris-Roubaix (253km) tahun ini.
Van der Poel terselamat selepas jatuh di selekoh licin selepas hujan di mana dia terbabas ke dalam penghadang tetapi bangun dan menamatkan perlumbaan dengan pengancing kasut yang patah.
Dia telah meninggalkan Van Aert, Pogacar dan Mads Pedersen 20km dari garisan penamat dengan serangan mengejut dan menangis lega selepas melintasi garisan penamat.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P23-Lead-Van_08082023.jpg)
Dia adalah pemenang Belanda pertama sejak Joop Zoetemelk pada tahun 1985.
Kemenangan itu juga akan membantu menebus kontroversi kejohanan 2022 di Australia di mana dia menjadi pilihan utama.
“Kemenangan itu terasa seperti membalas dendam atas apa yang berlaku tahun lalu, saya bersendirian sepanjang kilometer terakhir itu dan memikirkan semuanya,” katanya.
“Ia bagaikan satu lubang besar dalam kerjaya saya dan kini saya berjaya mengisinya dengan kemenangan manis ini.” – AFP