BELGIUM, 1 APRIL – Mathieu van der Poel, yang tenang beraksi dalam hujan Belgium, melakar sejarah kelmarin apabila dia menyertai kumpulan elit yang telah memenangi Jelajah Flanders sebanyak tiga kali.
“Ia adalah klasik kegemaran saya. Saya jatuh cinta dengannya pada kali pertama saya menyertainya.
“Dan ia juga yang paling sesuai untuk saya,” kata van der Poel pada sidang media selepas perlumbaan.
Pelumba Belanda berusia 29 tahun itu menamatkan perlumbaan lebih seminit di hadapan kumpulan yang mengejar apabila dia menjadi pelumba keenam dalam sejarah perlumbaan selama 111 tahun untuk meraih tiga kemenangan.
“Sejujurnya, saya tidak memberikan perhatian khusus kepada rekod,” katanya. “Karier saya sudah berjaya di luar jangkaan saya.

“Semuanya adalah bonus mulai sekarang.”
Luca Mozzato dari Itali meraih tempat kedua, satu minit dan dua saat di belakang, mengatasi pelumba Australia, Michael Matthews ke garisan penamat.
Namun Matthews kemudiannya dihukum kerana menunggang secara berbahaya dan pelumba Jerman, Nils Politt dianugerahkan tempat ketiga.
“Memenangi Jelajah Flanders dengan jersi pelangi juara dunia adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata van der Poel di garisan penamat.
“Ia merupakan Jelajah Flanders paling sukar yang pernah saya lakukan, salah satu perlumbaan paling sukar dalam kerjaya saya. Pada akhirnya saya berjaya.
“Saya merangkak sehingga ke garisan penamat. Ia benar-benar sukar.”
Perjalanan melalui monumen kedua dan paling suci membawa para pelumba sejauh 270.2 kilometer dan menaiki 18 pendakian yang sukar, di bawah langit mendung Belgium serta mengharungi hujan berterusan menjadikan sebahagian kawasan berbatu licin. – AFP