Friday, July 25, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van der Poel tarik diri akibat pneumonia

    MONTPELLIER, 23 JULAI – Perlumbaan Tour de France kehilangan salah seorang pelumba utama edisi 2025 apabila Mathieu van der Poel terpaksa menarik diri akibat pneumonia, demikian disahkan pasukannya, Alpecin, kelmarin.
     
    Van der Poel, yang merupakan antara pelumba satu hari terbaik dalam sukan berbasikal, tidak memiliki kelebihan daripada segi fizikal untuk menjuarai perlumbaan Grand Tour yang penuh dengan pendakian, namun beliau mencuri tumpuan dalam 10 hari pertama perlumbaan selama 21 hari itu di bahagian utara Perancis.
     
    Pelumba berusia 30 tahun dari Belanda itu memenangi peringkat kedua di Boulogne sekali gus merampas jersi kuning pendahulu keseluruhan, yang dikekalkan sehingga peringkat kelima.
     
    Namun, aksinya dalam peringkat kesembilan mencatat sejarah apabila dia hampir mencipta kejutan dalam gaya ‘habis-habisan’, memecut solo sejauh 150km sebelum akhirnya dipintas hanya 700 meter sebelum garisan penamat di Chateauroux – satu usaha yang digelar sebagai kisah epik dalam dunia berbasikal.
     
    Juara dunia 2023 itu dibawa ke hospital pada Isnin selepas mengalami gejala selesema yang semakin teruk.
     
    Van der Poel sebelum ini menjuarai Paris-Roubaix dan Milan-San Remo pada tahun 2025, selain merupakan juara berbilang kali dalam acara cyclocross dan basikal gunung.
     
    “Yang ini memang sangat menyakitkan,” tulisnya di Instagram selepas pengumuman rasmi pasukannya.
     
    Peringkat ke-16 perlumbaan akan melibatkan kayuhan sejauh 171.5km bermula dari bandar selatan Montpellier dan berakhir di puncak ikonik Mont Ventoux pada ketinggian 1,910 meter. – AFP
     
    Mathieu van der Poel beraksi dalam peringkat ke-13 perlumbaan berbasikal Tour de France edisi ke-112, pada 18 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda