THE HAGUE, 19 JULAI – Bekas penjaga gol antarabangsa Belanda, Edwin van der Sar sudah keluar dari unit rawatan rapi dan berharap untuk pulang ke rumah minggu hadapan selepas mengalami pendarahan otak yang mengancam nyawa.
Bekas pemain Ajax dan Manchester United berusia 52 tahun itu sedang dalam percutian di sebuah pulau di Croatia apabila jatuh sakit hampir dua minggu lalu.
“Saya gembira untuk mengongsikan bahawa saya tidak lagi berada di unit rawatan rapi,” Van der Sar berkata melalui akaun Twitternya lewat kelmarin.
Dia juga memuat naik gambar menggenggam tangan isterinya, Annemarie, di tepi katil hospital dengan kedua-dua pasangan itu tersenyum.
“Namun, saya masih berada di hospital. Saya berharap untuk pulang ke rumah minggu hadapan dan akan mengambil langkah seterusnya dalam pemulihan saya!” kongsi Van der Sar.- AFP


