THE HAGUE, 31 MEI – Bekas penjaga gol Belanda, Edwin van der Sar hari ini mengumumkan dia akan mengundurkan diri sebagai ketua eksekutif Ajax, selepas ‘tempoh yang amat sukar’ selama lebih sedekad memimpin kelab besar Amsterdam itu.
Perletakan jawatan itu dibuat selepas musim terburuk dalam 14 tahun untuk kelab terkemuka Belanda itu yang menduduki tempat ketiga dalam Eredivisie selepas kekalahan 3-1 kepada FC Twente baru-baru ini.
“Selepas hampir 11 tahun berada di lembaga pengarah, saya sudah selesai,” kata Van der Sar, 52, dalam satu kenyataan.
“Kami telah mengharungi perkara yang luar biasa bersama-sama, tetapi ia juga merupakan tempoh yang amat sukar,” kata bekas penjaga gol Manchester United itu, yang bersara daripada bola sepak profesional pada 2011.
Ajax gagal melayakkan ke Liga Juara-Juara selepas menduduki tempat ketiga dalam Eredivisie di belakang Feyenoord dan PSV Eindhoven.
Laporan media termasuk penyiar awam NOS dan tabloid harian De Telegraaf berkata penyokong menuduh Van der Sar bertanggungjawab atas kemerosotan kelab itu, berikutan pemergian pengarah sukan, Marc Overmars dan jurulatih, Erik ten Hag.
Bekas pemain antarabangsa Belanda, Overmars berhenti selepas mengaku menghantar mesej yang tidak sesuai kepada kakitangan wanita di Ajax, manakala Ten Hag yang meninggalkan kelab untuk memimpin Manchester United pada April tahun lalu.
Van der Sar berkata bahawa dia perlu “jauhkan diri, berehat, dan melakukan perkara lain.” – AFP
