Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Dijk gesa Liverpool bangkit semula

    LONDON, 17 SEPT – Virgil van Dijk (gambar- AFP) menggesa Liverpool untuk bangkit semula selepas kekalahan ‘tidak boleh diterima’ di tangan Nottingham Forest ketika The Reds bersiap sedia untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara.

    Hanya beberapa hari selepas kekalahan mengejut 0-1 kepada Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), skuad bimbingan Arne Slot memulakan format baharu Liga Juara-Juara dengan bertandang ke AC Milan, hari ini.

    Selepas memenangi tiga perlawanan pertama di bawah era Slot, Liverpool menerima tamparan dimalukan Forest di Anfield, Sabtu lalu.

    Kapten Liverpool, Van Dijk mahu kekalahan itu menjadi pembakar semangat untuk menewaskan Milan dan segera mengembalikan kempen mereka ke landasan yang tepat.

    “Kami mempunyai kumpulan pemain yang sangat bagus, yang benar-benar memahami bahawa kekalahan itu sukar untuk diterima,” kata bek tengah Belanda itu.

    Virgil van Dijk mengambil bahagian dalam sesi latihan di Liverpool, barat laut England, pada 16 September. – AFP

    “Kami semua tahu bahawa setiap individu boleh melakukan yang lebih baik dan kami perlu menunjukkannya hari ini.

    “Kami pernah mengalami kekalahan dan detik sukar bersama. Bagi saya, kami perlu terus kekal bertenang.

    “Kami memerlukan seluruh skuad dan kami tahu selepas rehat antarabangsa kami akan mengharungi perlawanan setiap tiga hari, jadi kami memerlukan semua pemain berada pada tahap terbaik,” katanya lagi.

    Sebelum itu, Liverpool mempamerkan aksi mengagumkan ketika meraih kemenangan ke atas Ipswich, Brentford dan Manchester United tanpa bolos dalam semua perlawanan tersebut. Namun, Callum Hudson-Odoi akhirnya berjaya memecahkan benteng pertahanan Van Dijk pada hujung minggu.

    Ditanya bagaimana mereka boleh memastikan kekalahan itu tidak menjejaskan momentum awal musim, Van Dijk menjawab, “Teruskan bekerja dan pastikan prestasi tidak menurun ke arah itu.

    “Kami semua tahu bagaimana suasana boleh berubah, tetapi itu juga sebahagian daripada pengaruh luar yang mungkin boleh memberi kesan kepada kami.

    “Saya tidak sabar untuk berada di atas padang mendengar lagu Liga Juara-Juara dan mengetuai pasukan. Kelab seperti Liverpool perlu berada di Liga Juara-Juara dan kami akhirnya kembali. Kami perlu tampil dengan persembahan yang jauh lebih baik, jika tidak, kami akan menghadapi masalah.”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda