LIVERPOOL, 18 SEPT – Van Dijk muncul wira pada minit ke-92 permainan menentang Atletico Madrid selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menyamakan kedudukan hasil dua gol Marcos Llorente awal pagi tadi.
Liverpool bermula cemerlang dengan menundukkan pasukan gergasi Sepanyol melalui dua jaringan awal pada enam minit pembukaan.
Mohamed Salah beraksi lebih bagus mengatasi Alexander Isak yang tampil pertama kali di Liverpool apabila sepakan percumanya melencong ke arah Andy Robertson menghasilkan gol pertama dan ditambah dengan rembatan ke gawang oleh pemain Mesir itu.
Tetapi Arne Slot kecewa kerana tidak mendapat tiga mata sebelum masa kecederaan meskipun bermula cemerlang.
“Perlawanan seperti ini tidak sepatutnya ditentukan pada lewat permainan,” kata jurulatih Belanda itu.
“Saya faham itu kisah permainan ini dan lima perlawanan terakhir Liverpool tetapi bagi saya ia adalah perlawanan yang berbeza. Kami mempunyai begitu banyak serangan hebat hari ini di mana kami boleh menjaringkan gol ketiga.”
Isak membuat penampilan pertamanya selepas menjadi pemain termahal dalam sejarah bola sepak Inggeris berikutan perpindahan £125 juta dari Newcastle. Tetapi Salah nampaknya kembali ke tahap terbaik dan hampir mencapai hatrik kelmarin.
Pasukan pelawat tiba-tiba mempunyai talian hayat pada masa kecederaan separuh masa pertama apabila Llorente melakukan rembatan ke sudut jauh membalas jaringan.
Liverpool melepaskan beberapa siri peluang untuk menjarakkan keputusan sebelum Llorente meledak lagi menyamakan kedudukan setelah percubaannya terkena Alexis Mac Allister dan mengelirukan Alisson Becker pada minit ke-81.
Van Dijk yang dibiarkan tanpa kawalan muncul wira menyudahkan sepakan sudut Szoboszlai mengakhiri perlawanan penuh aksi awal pagi tadi. – AFP


