Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Dijk pemain terbaik eropah

    MONACO, 30 OGOS – Pertahanan tengah Liverpool Virgil van Dijk memenangi anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan UEFA semalam, mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, manakala Lucy Bronze meraih anugerah wanita.

    Van Dijk dari Belanda menyerlah ketika Liverpool memenangi Piala Eropah kali keenam musim lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Tottenham pada final Liga Juara-Juara di Madrid.

    “Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, tanpa mereka saya tidak akan meraih apa yang saya capai hari ini,” kata Van Dijk kepada BT Sport.

    “Ia satu perjalanan panjang dan ia sebahagian daripada perjalanan saya. Saya amat bangga untuk mendapat trofi ini. Pujian kepada setiap orang yang membantu saya.”

    Pemain berusia 28 tahun itu muncul pertahanan pertama memenangi anugerah itu sejak diperkenalkan pada 2010-11.

    Virgil van Dijk bergambar dengan trofi Pemain TErbaik Eropah sempena cabutan peringkat kumpulan kejohanan Liga Juara-Juara di Monaco, kelmarin. – AFP

    Dia berpindah ke Liverpool dari Southampton pada Januari 2018 dengan rekod dunia bagi pertahanan 75 juta pound, membantu mereka layak ke final Liga Juara-Juara musim itu sebelum kalah kepada Real.

    Namun Van Dijk tonggak penting apabila Liverpool menang trofi utama pertama sejak 2012 musim lalu, selain turut mencipta rekod kelab bagi kutipan mata terbanyak semusim ketika muncul naib juara Liga Perdana, satu mata di belakang Manchester City.

    Messi dan Ronaldo meraih lima daripada lapan anugerah terdahulu antara mereka dengan Andres Iniesta (2012), Franck Ribery (2013) dan Luka Modric (2018) melengkapkan senarai pemenang.

    Pemain pertahanan Lucy menang kejuaraan Liga Juara-Juara Wanita bersama Lyon sebelum membantu England layak ke separuh akhir Piala Dunia Wanita.

    “Kami mengharungi musim mengagumkan, menang tiga kejuaraan,” kata Lucy mengenai penguasaan Lyon. “Saya fikir mana-mana rakan sepasukan saya patut hadir menerima anugerah hari ini.”

    Lucy yang berusia 27 tahun muncul pemain Inggeris pertama memenangi anugerah pemain terbaik UEFA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda