Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Dijk pindah rumah selepas pelantikan Solskjaer

    LONDON, 29 Mac – Pelantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengendali tetap Manchester United memaksa pertahanan Liverpool Virgil van Dijk mencari rumah baharu.

    Solskjaer mendedahkan yang dia dan keluarganya bercadang untuk tinggal di rumah yang dibinanya 12 tahun lalu selepas menandatangani kontrak tiga tahun di Old Trafford.

    Pengendali dari Norway itu, menurut laporan, menyewakan rumahnya kepada pertahanan Belanda Van Dijk, yang kini dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan seteru United, Manchester City.

    “Kami amat gembira tinggal di Norway sepanjang lapan tahun lalu,” kata Solskjaer, bekas penyerang United. “Ia akan memberi suasana baharu buat mereka tetapi kami tidak sabar menikmatinya.

    “Enam bulan yang kami persetujui (ketika mula mengambil tugas sebagai pengendali sementara sehingga akhir musim) sebagai keluarga, kami duduk berasingan kerana tiada keperluan untuk membawa mereka ke sini.

    “Ia berbeza sekarang. Kini kami akan pindah bersama-sama. Kami membina rumah itu pada tahun 2007, akhirnya tahun ini kami dapat mendiaminya – itu perancangan yang cukup lama.”

    Solskjaer, yang melakar 14 kemenangan daripada 19 perlawanan sebagai pengendali sementara, meletakkan rumah lima bilik itu dalam pasaran selepas dia kembali ke Norway untuk mengurus Molde.

    Tetapi dia gagal mencari pembeli dan menyewakan rumahnya kepada Van Dijk, bermakna buat masa sekarang Solskjaer terpaksa tinggal di Hotel Lowry di pusat bandar.

    Lowry adalah tempat tinggal pengendali sebelum ini, Jose Mourinho sepanjang tempoh dua setengah tahun di Manchester sebelum dipecat Disember lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda