LIVERPOOL, 17 APRIL – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk hari ini mengesahkan komitmennya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu dengan menandatangani kontrak baharu selama dua tahun.
Pertahanan Belanda itu mengikuti jejak langkah Mohamed Salah yang turut menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan melanjutkan tempoh bersama The Reds, tatkala penyokong bersiap sedia meraikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
“Saya sangat gembira, sangat bangga,” kata Van Dijk, yang seperti Salah, kontraknya sebelum ini dijadualkan tamat pada akhir musim ini.
“Terlalu banyak emosi yang bermain di fikiran saya ketika bercakap tentang perkara ini. Ia satu perasaan bangga, perasaan gembira. Ia luar biasa.
“Perjalanan saya dalam karier setakat ini cukup bermakna dan kini dapat melanjutnya selama dua tahun lagi di kelab ini, adalah sesuatu yang menakjubkan dan saya sangat bersyukur.”
Van Dijk, yang telah membuat 314 penampilan bersama Liverpool, berkata bulan lalu bahawa dia ‘tidak pasti’ sama ada akan terus kekal di Anfield, namun pada Ahad lalu memberi bayangan bahawa dia akan meneruskan kerjayanya di sana.
Pemain pertahanan tengah berusia 33 tahun itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain, namun menegaskan bahawa hatinya sentiasa bersama Liverpool.
“Liverpool sentiasa menjadi pilihan saya,” katanya. “Itulah halnya. Ia sentiasa bermain di fikiran saya, sentiasa dalam perancangan – dan ia sentiasa Liverpool.” – AFP
