Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Dijk wira Liverpool

    LIVERPOOL, 18 SEPT – Kapten Liverpool, Virgil van Dijk muncul wira apabila menanduk masuk gol dalam masa kecederaan untuk menewaskan Atletico Madrid 3-2 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Anfield, kelmarin.

    Aksi itu seakan berakhir dengan keputusan seri selepas Marcos Llorente meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan, sebelum tandukan Van Dijk dari sudut pada minit ke-92.

    Sementara itu, pengurus Atletico, Diego Simeone yang dilayangkan kad merah diarah keluar padang selepas terbabit dalam pertengkaran dengan penonton hanya beberapa minit sebelum wisel penamat.

    Bintang Mesir, Mohamed Salah turut mencatat nama sebagai penjaring selain menghasilkan satu bantuan jaringan pada malam penuh debaran itu, yang menyaksikan penampilan sulung pemain termahal Britain, Alexander Isak bersama Liverpool.

    Liverpool bermula garang dengan dua gol pantas dalam enam minit pertama. Andy Robertson menjaringkan gol pada minit keempat apabila sepakan percuma Salah melantun melepasi gawang Jan Oblak.

    Kapten Liverpool, Virgil van Dijk muncul wira apabila menanduk masuk gol dalam masa kecederaan untuk menewaskan Atletico Madrid 3-2 pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Anfield. – Reuters
    Virgil van Dijk meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol ketiga pada 17 September. – Reuters

    Salah menjaringkan dua gol sendiri hanya dua minit kemudian dengan larian solo menewaskan tiga pemain lawan selepas melakukan satu-dua pantas bersama Ryan Gravenberch sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru gawang.

    Namun Atletico bangkit dan Llorente merapatkan jurang tepat sebelum rehat, apabila meledak gol kedua pada minit ke-81.

    Liverpool sekali lagi menunjukkan prestasi hebat menjaringkan gol lewat permainan, sama seperti kesemua empat kemenangan Liga Perdana mereka musim ini yang hadir pada 10 minit terakhir perlawanan.

    Robertson pula mengakui Liverpool perlu belajar untuk mengakhiri perlawanan lebih awal.

    Liverpool melakukan 20 percubaan berbanding 10 oleh Atletico, termasuk satu peluang keemasan daripada Salah yang hanya singgah di tiang gol.

    Slot kini berharap skuadnya mampu mengekalkan momentum selepas musim lalu kecundang di tangan Paris Saint-Germain pada pusingan 16 terakhir. – Reuters

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda