Wednesday, April 16, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Van Dijk wira Liverpool, benam West Ham

    LONDON, 14 APRIL – Liverpool kini semakin hampir meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas Virgil van Dijk menjaringkan gol kemenangan dramatik 2-1 ke atas West Ham, semalam.

    Jaringan separuh masa pertama oleh Luis Diaz di Anfield dibatalkan oleh gol sendiri Andrew Robertson pada lewat perlawanan, namun Van Dijk memastikan kemenangan Liverpool dengan tandukan pada minit-minit terakhir.

    Pasukan kendalian Arne Slot kini 13 mata di hadapan Arsenal yang menghuni tempat kedua, dengan baki enam perlawanan.

    The Reds boleh dinobatkan sebagai juara pada 20 April, sekiranya mereka menang menentang Leicester dan Arsenal tewas kepada Ipswich.

    Meskipun tidak meraih gelaran ketika itu, ia hanyalah soal masa sebelum Liverpool mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka – menyamai rekod tertinggi dalam sejarah bola sepak Inggeris.

    Selepas tewas buat kali kedua dalam liga musim ini kepada Fulham 3-2 di Craven Cottage hujung minggu lalu, Liverpool kembali ke landasan kemenangan meskipun beraksi di bawah prestasi biasa – disebabkan prestasi penjaga gol Alisson Becker.

    “Alisson mungkin menunjukkan persembahan terbaik musim ini,” kata Slot.

    “(Gol kemenangan) itu amat melegakan kerana selepas West Ham menyamakan kedudukan dan melihat cara permainan berlangsung pada separuh masa kedua, mereka nampaknya lebih hampir menjaringkan gol.”

    Mohamed Salah mencipta rekod baharu Liga Perdana Inggeris dengan sumbangan gol ke-45 atau bantuan jaringan musim ini – terbanyak dalam 38 perlawanan satu musim – apabila dia menghantar umpanan untuk Diaz membuka tirai jaringan pada minit ke-18.

    Alisson dua kali menafikan percubaan Mohammed Kudus dan turut menyelamatkan situasi satu lawan satu daripada Jarrod Bowen, tetapi akhirnya dibolosi empat minit sebelum tamat apabila Van Dijk gagal mengeluarkan hantaran lintang Aaron Wan-Bissaka, menyebabkan bola terkena Robertson dan masuk ke gawang sendiri. – AFP

    Aksi Luis Diaz semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United di Anfield, Liverpool, pada 13 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda