LONDON, 1 NOV – Ruud van Nistelrooy berkata dia ‘bermotivasi’ untuk membantu mengubah musim Manchester United dan mahu kekal di kelab itu ketika pasukan menghadapi perlawanan berprofil tinggi menentang Chelsea Ahad nanti.
Pemain Belanda itu mengendalikan United sementara di Old Trafford selepas Erik ten Hag dipecat awal minggu ini berikutan permulaan musim yang teruk, dengan United di tempat ke-14 Liga Perdana.
Van Nistelrooy menikmati kemenangan 5-2 menentang Leicester dalam Piala Liga pada Rabu lepas ketika perbincangan pelantikan jurulatih Sporting Lisbon, Ruben Amorim masih berjalan.
Amorim telah berjanji untuk menentukan masa depannya selepas perlawanan juara Portugal itu hari ini.
Bekas penyerang United, Van Nistelrooy, yang kembali ke kelab itu pada Julai sebagai sebahagian daripada pasukan bantuan Ten Hag, kelihatan bersedia untuk mengambil alih tugas menentang Chelsea malah boleh mengurus pasukan itu sehingga rehat antarabangsa akan datang.
“Sebagai pembantu, saya datang ke sini untuk membantu kelab ke hadapan dan saya masih sangat bermotivasi untuk berbuat demikian dalam apa jua kapasiti sebagai pembantu dan kini sebagai pengurus sementara. Selepas itu saya kembali kepada kontrak pembantu saya yang saya ada di sini untuk musim ini dan seterusnya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan kelmarin.
“Saya sangat bermotivasi untuk kekal di sini dan membantu kelab ke hadapan. Itulah matlamat mutlak saya.”
Amorim, jika pelantikannya disahkan, mungkin akan membawa masuk kakitangannya sendiri.
Ditanya sama ada jangkaannya akan kekal sebagai pembantu di bawah pengurus baharu United, Van Nistelrooy berkata: “Kita akan lihat nanti tetapi ia adalah situasi kontrak saya dan keinginan saya untuk membantu kelab ke hadapan.
“Jadi saya hanya boleh bercakap tentang sisi saya dan selepas itu, apabila situasi baharu berlaku, apabila pengurus baharu menandatangani dan perbualan berlaku, kita perlu melihat bagaimana keadaan berkembang.”
Van Nistelrooy merupakan bekas pemain di United di bawah Alex Ferguson dari 2001 hingga 2006. – AFP