Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vanke catat kerugian tahunan AS$6.8 bilion

    HONG KONG, 1 APRIL – Gergasi hartanah China yang dibelenggu hutang, Vanke, melaporkan kerugian tahunan sebanyak AS$6.8 bilion kelmarin, dengan menyebut kemerosotan jualan dan penyusutan margin keuntungan meskipun usaha Beijing untuk menghidupkan semula pasaran perumahan.

    Vanke dalam pemfailan kepada bursa saham Hong Kong menyatakan bahawa tahun 2024 adalah ‘tahun yang amat mencabar’ dan memohon maaf atas “kesulitan yang ditimbulkan… akibat penurunan jualan yang ketara, kerugian besar serta tekanan terhadap kecairan kewangan kami.”

    Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini bergelut dengan krisis berpanjangan dalam sektor hartanah negara yang luas, yang sebelum ini menjadi tonggak utama ekonomi tetapi kini dibebani hutang yang besar.

    Vanke, yang disenaraikan di Hong Kong, sebahagiannya dimiliki oleh kerajaan Shenzhen dan merupakan syarikat hartanah keempat terbesar di China berdasarkan jualan tahun lalu, menurut firma penyelidikan CRIC.

    Vanke kelmarin menyatakan bahawa ia ‘gagal menangani inersia pengembangan berpunca daripada hutang tinggi, pusing ganti tinggi dan pinjaman modal tinggi tepat masa masanya, sekali gus membawa kepada masalah, seperti pelaburan agresif dan pengembangan berlebihan.

    Vanke melaporkan kerugian tahun berjumlah AS$6.8 bilion meskipun usaha Beijing untuk menghidupkan pasaran perumahan. – AFP

    Tahun lalu menandakan kerugian tahunan pertama Vanke sejak ia disenaraikan pada 1991, dengan jumlah yang melebihi anggaran syarikat pada Januari iaitu AS$6.2 bilion.

    Pendapatan susut 26 peratus tahun ke tahun kepada AS$47.3 bilion.

    Vanke sebahagiannya mengaitkan kerugian itu dengan ‘penurunan ketara dalam skala penyelesaian dan margin keuntungan kasar perniagaan pembangunan.’

    Ketua Pegawai Operasi dan Naib Presiden Eksekutif syarikat, Liu Xiao, meletak jawatan kelmarin ‘disebabkan penyelarasan kerja’, menurut syarikat itu.

    “Selepas melepaskan jawatan tersebut, (Liu) akan terus berkhidmat untuk syarikat, memberi tumpuan kepada perniagaan pelaburan strategik,” menurut kenyataan syarikat. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda