SUVA, 17 Dis – Satu gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter berlaku kira-kira 30 kilometer ke barat Port Vila, ibu negara Vanuatu, pada jam 12:47 tengah hari waktu tempatan hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Bagaimanapun, tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan susulan kejadian itu.
Menurut USGS, pusat gempa berada pada kedalaman 43 kilometer dengan koordinat 17.711 darjah lintang selatan dan 168.030 darjah bujur timur.
Susulan kejadian itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik telah mengeluarkan amaran tsunami.
Negara-negara kepulauan Pasifik seperti Vanuatu, Fiji dan Tonga sering mengalami gempa bumi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktif dengan pertembungan plat tektonik yang menghasilkan aktiviti seismik dan letusan gunung berapi yang kerap. – Xinhua









