Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vaping meningkat walaupun tabiat merokok menurun di M’sia

    PETALING JAYA – Tembakau adalah pembunuh utama yang telah meragut lebih tujuh juta nyawa di seluruh dunia, tetapi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini mendapati bahawa penggunaan tembakau telah berada dalam aliran menurun secara global.

    Sebaliknya, terdapat peralihan daripada tabit merokok kepada menggunakan vape. Laporan itu mendapati penggunaan tembakau global jatuh daripada 1.38 bilion pengguna pada 2000 kepada 1.2 bilion pada 2024.

    WHO juga melaporkan bahawa merokok di Malaysia diramalkan menurun daripada anggaran 23.1% pada 2010 kepada 16.1% pada 2030.

    Dalam laporan yang dikeluarkan baru-baru ini, WHO menganggarkan sekurang-kurangnya 86 juta orang dewasa dan 15 juta kanak-kanak berumur antara 13-15 sudah mula menggunakan e-rokok.\

    Di sesetengah negara, kanak-kanak secara purata sembilan kali lebih berkemungkinan menggunakan vape berbanding orang dewasa.

    Sambil menyifatkan angka itu sebagai membimbangkan, WHO berkata lebih 100 juta orang di seluruh dunia kini menggunakan vape.

    Penyokong anti-merokok juga turut menyedari akan trend ini.

    Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang, NV Subbarow berkata golongan belia lebih suka perisa buah dan rasa manis daripada vape.

    “Kebanyakan belia kini benci merokok kerana baunya. Kira-kira 80% bekas perokok memberitahu saya mereka beralih kepada vape. Pelbagai perisa manis, seperti coklat dan anggur, bersama dengan warna pelangi yang terang, benar-benar menarik minat belia malah menarik minat belia yang tidak merokok,” katanya. “Ini membimbangkan.”

    Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Prof Madya Dr M Murallitharan juga berkata penurunan tabiat merokok di Malaysia adalah mengelirukan dan boleh membawa kepada kesan negatif yang ketara pada masa depan jika wabak vape ini tidak ditangani.

    “Kami bukan sahaja mempunyai perokok sedia ada yang beralih kepada vape, kami juga telah melihat peningkatan ketara dalam pengguna bukan tembakau sebelum ini yang sudah mula menggunakan vape.

    “Penurunan bilangan perokok mungkin kelihatan seperti kami melakukan kerja yang baik dalam membendung ketagihan nikotin, tetapi kami hanya mengalihkan masalah itu. Semua vaper yang ketagih nikotin baharu ini tidak akan mempunyai pilihan selain menukar kepada rokok jika dan apabila pengharaman vape akhirnya diumumkan,” katanya.

    WHO menganggarkan terdapat lebih empat juta pengguna tembakau di Malaysia.

    Satu lagi laporan WHO mengenai wabak tembakau global 2025 berkata Malaysia adalah antara enam negara yang telah mengukuhkan undang-undang larangan merokok mereka. – ANN/The Star

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda