Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    VAR diperkenal di Piala Dunia Wanita

    SYDNEY, 18 JULAI – Ketua pengadil FIFA, Pierluigi Collina berkata penjelasan pegawai perlawanan mengenai keputusan VAR disiarkan secara langsung kepada penonton di stadium dan televisyen dalam perlawanan Piala Dunia Wanita akan menjadikan proses tersebut ‘lebih telus.’

    Ia adalah kali pertama konsep itu digunakan dalam kejohanan utama apabila Piala Dunia Wanita bermula Khamis ini, selepas diuji dalam Piala Dunia Kelab lelaki di Morocco tahun ini dan Piala Dunia B20 lelaki di Argentina bulan lalu.

    Collina, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, memberitahu pemberita bahawa maklum balas yang diterima daripada ujian tersebut adalah positif.

    “Kami ingin memberikan lebih banyak ketelusan dan pemahaman tentang keputusan yang diambil oleh pengadil.

    “Para pengadil di sini di Sydney telah berlatih menggunakan sistem PA di padang latihan dan semuanya berjalan lancar.

    “Kami yakin bahawa alat baharu ini akan memberikan impak positif,” kata beliau.

    Para peminat telah lama menuntut lebih banyak ketelusan dalam keputusan VAR.

    Pegawai perlawanan di Piala Dunia di New Zealand dan Australia akan merujuk skrin di tepi padang sebelum menyampaikan keputusan mereka, alasannya adalah supaya pemain-pemain yang terlibat dan keterangan ringkas tentang insiden tersebut dapat disampaikan melalui sistem PA menerusi mikrofon di baju mereka. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda