LONDON, 29 NOV – Jurgen Klopp sekali lagi meluahkan rasa kecewa dengan jadual perlawanan yang ‘berbahaya’ selepas dua gol Liverpool dibatalkan serta menghadiahkan dua sepakan penalti ketika The Reds seri 1-1 menentang Brighton semalam.
Liverpool kembali ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) mengatasi Tottenham namun kecewa dengan sepakan penalti di minit-minit terakhir perlawanan oleh Pascal Gross yang menyaksikan mereka terpaksa berkongsi satu mata dengan Brighton.
Klopp sudah meluahkan rasa kurang senangnya sepanjang minggu lalu apabila pasukannya terpaksa beraksi di waktu tengah hari tiga hari selepas tewas kepada Atalanta di Liga Juara-Juara.
Dengan beberapa pemain mengalami kecederaan, The Reds berdepan satu lagi kesukaran selepas James Milner terpaksa digantikan berikutan kecederaan hamstring dialaminya pada separuh masa kedua.
“Tahniah,” kata Klopp secara menyindir kepada wartawan televisyen BT Sport.
“Anda bekerja untuk mere-ka? Saya tidak mahu bergurau dengan stesen penyiaran. Saya hanya mahu memperkatakan apa yang benar.
“Selepas perlawanan Rabu lalu, beraksi pada hari Sabtu jam 12:30 tengah hari sangat berbahaya kepada pemain.”
Pasukan bimbingan Jurgen Klopp mendahului perlawanan melalui jaringan Diogo Jota pada separuh masa kedua selepas penyerang Brighton, Neal Maupay gagal menyempurnakan penalti di separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Liverpool dikejutkan dengan jaringan di masa kecederaan apabila cabaran yang dilakukan Andrew Robertson ke atas Danny Welbeck membolehkan Brighton dihadiahkan sepakan penalti selepas Stuart Attwell mengubah keputusannya sebaik merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR).
Gross menyempurnakan sepakan penalti sekali gus menyaksikan Klopp mengejek pengadil dengan memberikan tepukan selepas perlawanan tamat. – AFP
