SAINT PETERSBURG, 27 Jun – Ketua pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mahu kelewatan dikurangkan disebabkan sistem bantuan pengadil (VAR) sebelum ia digunakan pada Piala Dunia tahun depan.
Badan pentadbiran bola sepak dunia itu menjadikan Piala Konfederasi di Russia untuk menguji sistem video bantuan pengadil (VAR) buat kali pertama di kejohanan antarabangsa utama.
Pengadil mengkaji semula insiden permainan – jaringan gol, keputusan penalti, keputusan kad merah dan kes kesilapan yang lain – semasa pertandingan, yang memberikan pengadil di padang peluang untuk memperbetulkan keputusan.
FIFA masih belum memutuskan sama ada sistem VAR akan digunakan pada Piala Dunia tahun depan di Rusia.
Sistem ini mencetuskan kontroversi di Piala Konfederasi kerana didakwa mengganggu permainan.
Ketua Pengadil FIFA, Massimo Busacca, mengakui berlaku kelewatan masa yang terlalu lama, namun berpuas hati dengan ketepatan keputusan yang dibuat.
“Kelewatan satu, dua atau tiga minit tidak dapat diterima, kita perlu memperbaikinya.
“Ia jelas, ketika ini tidak semuanya berfungsi, tetapi dalam 12 perlawanan tiada kesalahan yang terlepas dan itu mesej yang paling penting.” – AFP