LONDON, 27 OKT – Pengurus Tottenham, Antonio Conte berkata VAR ‘merosakkan’ bola sepak selepas dia dibuang padang kerana memprotes gol minit akhir Harry Kane yang tidak dibenarkan ketika seri 1-1 berdepan Sporting Lisbon kelmarin.
Spurs tampak akan ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara apabila kapten England itu menjaringkan gol pada minit ke-95.
Namun selepas melihat semula rakaman video yang berlanjutan hingga tiga minit, gol berkenaan tidak diberikan kerana ofsaid yang mencetuskan kemarahan Conte.
Pengendali dari Itali itu dilayangkan kad merah oleh pengadil Belanda, Danny Makkelie, bermakna dia mungkin akan dihalang daripada berada di garisan padang ketika Tottenham berkunjung ke Marseille awal pagi Rabu ini.
Skuad kendalian Conte masih mengetuai Kumpulan D dengan kelebihan satu mata berbanding Sporting dan Eintracht Frankfurt, namun semua empat pasukan masih berpeluang layak.
Satu mata sudah cukup buat Spurs untuk layak dalam pertembungan di selatan Perancis manakala Sporting juga memerlukan seri untuk mara apabila menanti kehadiran Frankfurt. “Saya rasa VAR mencipta banyak kerosakan,” kata Conte kepada BT Sport.
“Saya mahu melihat jika kami berada di satu lagi stadium besar, berdepan satu lagi pasukan besar, sama ada mereka bersedia melarang gol seperti ini.
“Apabila awda mencipta situasi seperti ini, ia menakjubkan. Awda mencipta banyak ‘kerosakan’ kepada kelab.” – AFP
