SOCHI – Sistem video bantuan pengadil (VAR) telah mencuri tumpuan di Piala Dunia Rusia, di mana sistem itu sepatutnya menyediakan ‘campur tangan minimum’, sebaliknya memberikan impak besar dan kontroversi.
Aksi terakhir Kumpulan B Selasa lalu memasuki waktu kecederaan di mana Portugal dalam laluan menjuarai kumpulan mereka dan Sepanyol menamatkan di kedudukan kedua, namun nasihat pengadil VAR dalam dua perlawanan berasingan mengubah semuanya.
Di Kaliningrad, Sepanyol telah dianugerahkan gol penyamaan untuk meraih keputusan seri 2-2 menentang Maghribi apabila satu gol Iago Aspas diberikan selepas VAR membantu pengadil Uzbekistan, Ravshan Irmatov untuk menterbalikan keputusan ofsaid.
Pada masa yang sama di Saransk, pengadil dari Paraguay, Enrique Caceres diminta untuk memberikan penalti kepada Iran selepas bola terkena tangan pemain Portugal, Cedric Soares.
Karim Ansarifard menyudahkan penalti itu, membantu Iran bagi mendapatkan keputusan 1-1, dan menurunkan juara Eropah itu ke kedudukan kedua.

Kini Cristiano Ronaldo dan rakan sepasukannya berdepan Uruguay dalam peringkat 16 terakhir. Manakala, Sepanyol mungkin lebih gembira dengan pertembungan menentang pasukan tuan rumah, Rusia di Moscow dan secara teorinya mungkin mendapat laluan yang lebih mudah.
Itu sangat bertentangan dengan kenyataan FIFA ketika mereka memperkenalkan sistem baru itu di kejohanan bola sepak terbesar di dunia tersebut, “Matlamat kami adalah campur tangan minimum bagi manfaat maksimum.”
Setentunya, itu lebih merujuk pada aliran permainan berbanding impak terhadap keputusan.
Pemain Maghribi, Noureddine Amrabat, dengan jelasnya menyatakan perasaan tidak puas hatinya terhadap VAR selepas perlawanan itu.
Peraturan bercanggah
Sementara jaringan penyamaan Sepanyol diberikan dengan betul, manakala keputusan di Saransk lebih kontroversi.
Ronaldo telepas peluang menjaringkan gol yang diberikan selepas pengadil menterbalikkan keputusannya, dan kemudian dia telah dilayangkan kad kuning susulan satu penilaian yang dilihat sebagai kesalahan menyiku pemain lawan.
Ia adalah bercanggah dengan peraturan bahawa kesalahan menyiku pemain lawan biasanya diberikan kad merah.
“Kesalahan menyiku adalah kad merah dalam peraturan. Dalam peraturan ia tidak menyatakan jika ia adalah (Lionel)Messi atau Ronaldo,” marah jurulatih Iran, Carlos Queiroz, yang menyatakan bahawa VAR ‘tidak beroperasi dengan baik’.
Iran kini sudah tersingkir dan mereka meninggalkan kejohanan yang didominasi oleh VAR berbanding pengkritik sistem bayangkan.


Sudah terdapat lebih 20 penalti diberikan di Piala Dunia ini, satu rekod kejohanan sebelum berakhirnya peringkat kumpulan.
Kebanyakannya, seperti jaringan kemenangan Andreas Granqvist bagi Sweden ke atas Korea Selatan, diberikan selepas pengesahan VAR.
Bahkan Swenden juga menjadi mangsa kesilapan besar pengadilan apabila mereka dinafikan penalti awal dalam kekalahan mereka kepada Jerman atas faul yang dilakukan Jerome Boateng terhadap Marcus Berg.
“Jika kita mempunyai sistem, ia sungguh malang jika dia tidak mahu pergi melihatnya (ulang tayang),” kata jurulatih Sweden, Janne Andersson mengenai pengadil dari Poland, Szymon Marciniak.
Tidak lancar
Apabila Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB), penjaga undang-undang sukan itu, berkata hanya pengadil boleh membuat keputusan sama ada menilainya.
Salah seorang pengadil dari pasukan VAR melihat salah satu kejadian dan memberitahu pengadil, yang kemudian boleh memutuskan sama ada menilainya atau tidak. Sistem itu tidak lancar dan ketidaktentuan boleh membawa kepada kekecewaan.
Dalam beberapa situasi juga adanya kebimbangan mengenai ulang tayang perlahan kelihatan lebih teruk berbanding realiti.
Sebagai tambahan, sistem itu juga masih boleh membawa kepada kekeliruan bagi penyokong di dalam stadium, yang tidak mempunyai akses ulang tayang yang jelas berbanding penonton di rumah.
FIFA kelihatannya perlu bersedia untuk menerima kritikan dan mempertahankan sistem itu di akhir peringkat kumpulan minggu ini, di mana ketua pengadil, Pierluigi Collina dan pemimpin projek VAR, Roberto Rosetti dijangka hadir pada satu perjumpaan.
“Ia akan membolehkan kami mengutarakan analisis dan statistik mengenai prestasi VAR semasa fasa permulaan,” menurut FIFA kepada AFP. – AFP