Saturday, March 29, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Varadkar dilantik PM baharu Ireland

    DUBLIN, 18 DIS – Bekas Timbalan Perdana Menteri Ireland yang juga ketua parti Fine Gael, Leo Varadkar dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Ireland semalam.

    Seramai 87 ahli Dewan Rakyat mengundi menyokong pencalonannya sebagai perdana menteri manakala 62 ahli menentang, lapor Xinhua.

    Selepas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu oleh Presiden Ireland, Michael D Higgins, Varadkar mengumumkan rombakan Kabinet. Menurut senarai anggota Kabinet, bekas Perdana Menteri Ireland yang juga ketua Fianna Fail, Micheal Martin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri bagi Hal Ehwal Luar dan Pertahanan yang baharu manakala bekas Menteri Luar dan Pertahanan, Simon Coveney dilantik sebagai Menteri bagi Perusahaan, Perdagangan dan Pekerjaan.

    Bekas Menteri Kewangan, Paschal Donohoe dilantik sebagai Menteri bagi Perbelanjaan Awam dan Pembaharuan manakala bekas Menteri bagi Perbelanjaan Awam dan Pembaharuan, Michael McGrath  memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan baharu.

    Selepas pencalonan diluluskan di Dewan Rakyat, Kabinet baharu mengadakan mesyuarat pertamanya pada malam Sabtu. Ini adalah kali kedua Varadkar dilantik sebagai Perdana Menteri Ireland selepas menjawat jawatan itu pada Jun 2017. – Bernama

    Gambar fail menunjukkan Leo Varadkar membuang undi di stesen pengundian di Castleknock, Dublin. Varadkar dilantik Perdana Menteri Ireland kali kedua pada hujung minggu ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda