Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Penyerang berbisa DPMM FC, Andrei Varankou meledakkan gol di saat-saat akhir bagi membantu pasukannya seri 1-1 menentang Geylang International dalam aksi Kumpulan B Piala Singapura Komoco Motors 2019 di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi.
Penyerang dari Belarus itu menjadi penyelamat pasukan selepas menerima umpanan gol daripada bintang tempatan, Adi Said.
Juara Liga Perdana Singapura yang baru dimahkotakan itu memulakan perlawanan dengan mencipta beberapa peluang menerusi Adi Said, yang menyaksikan volinya dengan tenang ditangkap oleh penjaga gol Geylang, Zainol Gulam.
Zainol terus dihujani rembatan daripada Adi Said dan diuji dengan sepakan percuma jarak jauh oleh pemain tengah DPMM FC, Azwan Salleh, namun gawangnya masih utuh.
Di sebalik serangan oleh DPMM FC, pertahanan pasukan Gegar-Gegar bolos apabila satu hantaran lintang Barry Maguire menemui Shawal Anuar, yang meluru ke dalam petak bahaya sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan penjaga gol DPMM FC, Haimie anak Nyaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.
Dengan masa semakin suntuk, DPMM FC membuat dua pertukaran pada minit ke-80 dengan memasukkan Andrei Varankou dan Blake Ricciuto.
Ketika aksi semakin tegang, satu rayuan kontroversi bagi sepakan penalti dibuat selepas pemain pertahanan Geylang, Darren Teh kelihatannya mengawal bola percubaan Varankou dengan menggunakan tangan, namun pengadil perlawanan hanya memberikan sepakan sudut buat DPMM FC.
Kerja keras DPMM FC akhirnya terbalas apabila Adi Said membuat hantaran lambung melepasi pemain pertahanan Geylang dan menemui Varankou, yang menanduk masuk gol penyamaan menewaskan Zainol.
