Saturday, March 15, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Vardy beri permulaan sempurna buat Puel

    LONDON, 30 Okt – Jamie Vardy memberikan permulaan sempurna buat Claude Puel sebagai pengendali Leicester awal pagi tadi apabila bekas juara Liga Perdana Inggeris itu kembali mempamerkan corak serangan balas berbisa ketika menewaskan Everton yang tiada pengurus, 2-0.

    Seperti ketika memenangi kejuaraan pada musim 2015-16, Leicester mencetus masalah buat pasukan pelawat sejak awal permainan, mempamerkan rentak permainan pantas dengan Demarai Gray memaksa skuad Merseyside bekerja keras pada penampilan keduanya dalam kesebelasan utama musim ini.

    Walaupun mengharungi permulaan musim yang buruk sehingga menyebabkan Craig Shakespeare dipecat, kemenangan ketiga Leicester dalam kempen kali ini melonjakkan mereka ke tangga 11 liga manakala Everton, yang kehilangan Ronald Koeman awal minggu ini, terperosok ke zon penyingkiran.

    Jamie Vardy meraikan gol pertama pasukannya ketika menentang Everton semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power di Leicester, England pada 29 Oktober 2017. – AP

    Pasukan tuan rumah mendahului permainan pada minit ke-18 selepas Gray, yang mengutip bola di kawasan sendiri, menggelecek beberapa pemain sebelum menghantar bola kepada Riyad Mahrez di sayap kanan.

    Mahrez kemudian melakukan hantaran lintang dan Vardy memanfaatkannya untuk gol pertama Leicester. 11 minit kemudian, percubaan Gray terkena Jonjoe Kenny dan menewaskan Jordan Pickford di gawang sendiri, namun Gray dikira sebagai penjaring.

    Pengendali sementara Everton, David Unsworth membuat dua pertukaran ketika rehat, memasukkan Oumar Niasse dan Beni Baningime bagi menggantikan Aaron Lennon dan Kevin Mirallas, tetapi tidak memadai untuk menembusi gawang Leicester. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda