Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Hasil ujian genotyping atau sequencing pada kesemua 20 sampel dari kes-kes tempatan yang telah dihantar ke luar negara telah menunjukkan ia adalah daripada varian Delta.
Dapatan tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Namun demikian, Yang Berhormat Menteri Kesihatan ingin mengingatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas dengan perkara tersebut.
Menurutnya, varian Delta memang diketahui dua atau tiga kali ganda lebih mudah merebak berbanding varian lain.
Namun, jelas Yang Berhormat Dato, langkah-langkah pencegahan dan pengawalan bagi apa jua varian COVID-19 adalah masih sama, seperti mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, memakai pelitup muka apabila berada di luar rumah terutamanya di kawasan yang sesak, kerap mencuci tangan dengan air atau sabun atau penggunaan sanitasi tangan.
Seterusnya beliau turut menegaskan, “Patuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan bagi sama-sama mengawal penularan COVID-19 di negara ini. Teranah tah di rumah.”
Dalam pada itu, bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa Kementerian Kesihatan telah menyenaraikan jenis-jenis kit ujian Antigen Rapid Test (ART) yang telah mendapat kelulusan untuk diguna-pakai di Negara Brunei Darussalam.
Syarikat-syarikat yang ingin memperolehi kit ujian ART untuk dijual kepada orang ramai boleh
merujuk kepada senarai yang boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan.
