MOSCOW, 1 JULAI – Rusia melaporkan 672 orang maut akibat koronavirus dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus mencatatkan angka kematian tertinggi selama tiga hari berturut-turut.
Semalam Rusia mencatatkan 669 kematian dan Selasa pula seramai 652 kematian.
Negara itu sedang bergelut melawan wabak varian delta yang menular lebih cepat, ditambah kelembapan program suntikan hingga memaksa Presiden Vladimir Putin mendesak rakyatnya mendapatkan vaksin.
Saint Petersburg, yang akan menjadi tuan rumah suku akhir Euro 2020 bagi perlawanan Sepanyol menentang Switzerland esok di hadapan ribuan penonton, menyaksikan kematian terbanyak iaitu seramai 115 mangsa.
Puluhan penyokong Finland turut dijangkiti koronavirus, mendorong pihak berkuasa memperkenalkan sekatan minimum melarang penjualan makanan di zon peminat, selepas mereka melakukan perjalanan ke sana awal bulan ini.
Datuk Bandar Moscow, Sergei Sobyanin berkata varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di India, menyumbang 90 peratus kes sehingga memaksa pihak berkuasa memperkenalkan beberapa sekatan baharu.
Pusat perniagaan pula diperintahkan menghantar pulang 30 peratus pekerja yang tidak divaksin dan restoran hanya boleh melayan pelanggan yang sudah disuntik atau tidak dijangkiti dalam tempoh enam bulan lalu di dalam premisnya.
Sobyanin juga mewajibkan 60 peratus pekerja industri perkhidmatan di bandar itu disuntik vaksin sepenuhnya menjelang pertengahan Ogos ini. – AFP