RAMAI yang mengakui begitu obses untuk mengumpulkan ros daripada pelbagai baka dan identiti kerana bunga berkenaan sarat dengan nilai keindahan secara semula jadi.
Uniknya bunga ini mempunyai ribuan identiti mengikut baka setiap negara seperti Inggeris, Jepun, India dan sebagainya.
Hakikatnya baka ros dibezakan berdasarkan ciri tertentu seperti kelopak, warna, batang, daun serta karakternya.
Menariknya, terdapat ros Inggeris jenis memanjat dan cerap iaitu ditanam di atas tanah atau di dalam pasu.
Antara keistimewaan baka ros Inggeris ini ialah baunya cukup harum tetapi kelopaknya mudah gugur.

Iklim tropika yang memiliki tahap kepanasan berbeza itu turut mempengaruhi perkembangan dan saiz bunga tersebut.
Antara baka ros Inggeris yang sering mendapat perhatian adalah William Shakespeare 2000, Juliet, Munsteadwood dan Jude De Obsecure.
Sementara jenis memanjat pula ialah Crown Princess Magarita, Graham Thomas dan Huntington.
Di samping itu, baka jenis ros Jepun dan India juga tidak kurang menariknya. Ros jepun terkenal dengan varian warna unik seperti Yuzen, Hiyori, Catalina, Moncoeur dan banyak lagi.
Sementara baka India pula membabitkan Kalamakunta, Kalpana Chawla dan Abishek yang sering dicari pengumpul identiti ros.
Hybrid Tea pula ialah baka yang diperoleh menerusi cantuman baka tertentu dan kumpulan ros ini biasanya jenis cerap serta saiznya lebih besar sesuai untuk hiasan meja atau jambangan.
Pada dasarnya adalah penting untuk pemilik bunga mengenal pasti identiti ros berkenaan supaya penjagaannya dapat dilakukan dengan lebih baik.
Dari segi penjagaan bunga ini, penyakitnya hampir sama untuk semua pokok iaitu serangga perosak selain air bertakung pada akar disebabkan oleh medium yang tidak sesuai.
Secara kesimpulan, keindahan ros itu tentunya menambahkan visual landskap menarik di taman.