Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Variasi barang koleksi teraneh di dunia

    Oleh Adiiwira

    Mengumpulkan sesuatu barang untuk menjadi satu koleksi boleh dimulakan dengan sekecil-kecil barang sehinggalah yang berskala besar.

    Tidak kisahlah barang dikumpul itu memiliki nilai yang murah atau mahal asalkan ia dapat dijadikan satu hobi.

    Pada kebiasaannya, para pengumpul koleksi ini mengumpul barang yang menurutnya memiliki sebab tertentu kenapa ia perlu dikumpul dan ada juga mengumpul koleksi sebagai suka-suka sahaja. Rata-rata para pengumpul terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk mengaktifkan aktiviti pengumpulan mereka. Ini kerana sesetengah barang koleksi terdiri daripada barang-barang yang langka dan unik yang semestinya memiliki nilainya tersendiri.

    Sebagai contoh, para pengumpul figura memerlukan wang yang banyak untuk mendapatkan barang edisi terhad semata-mata menambah koleksi dan dalam masa yang sama memiliki sesuatu yang belum tentu dimiliki orang lain.

    Oleh sebab perasaan ingin memiliki sesuatu perbezaan dari para pengumpul lain, mereka sanggup menghabiskan ribuan dolar. Walau bagaimanapun, memiliki sesuatu yang langka atau yang edisi terhad belum dapat mengatakan kita memiliki koleksi yang berbeza dan unik. Ini kerana terdapat beberapa pengumpul yang memiliki koleksi teraneh yang mungkin tidak semua miliki antaranya:

    Jean-Francois Vernetti berjaya mengumpulkan sebanyak 11,111 tanda ‘do not disturb’ pelbagai jenis dari hotel-hotel di 189 buah negara sejak tahun 1985. – Agensi
    David Morgan dikatakan telah mengumpulkan kira-kira ratusan kon jalan di rumahnya. – Agensi
    Marilyn Mansfield bersama antara koleksi bonekanya yang menakutkan. – Agensi
    Carol Waughn dimasukkan di dalam Guinness Book of Records sebagai pengumpul sabun terbanyak. – Agensi

    Koleksi boneka menakutkan

    Mengumpulkan anak-anak patung atau figura sememangnya satu koleksi yang menarik. Ini kerana kebanyakan koleksi-koleksi tersebut merupakan watak-watak dari siri TV, filem atau animasi yang terkenal seperti Naruto, watak-watak adiwira dan sebagainya. Namun, jika seseorang itu mengumpulkan koleksi boneka yang bertentangan dari yang dijelaskan setentunya ia sesuatu yang aneh dan mungkin agak menakutkan.

    Marilyn Mansfield merupakan seorang pengumpul boneka sebanyak 500 buah boneka plastik yang menakutkan. Bagi penulis, Marilyn memelihara boneka-boneka itu seolah-olah ia hidup seperti mengubah pakaian, mencuci rambut dan membawanya ke taman.

    Marilyn mempamerkan koleksi boneka seram ini di apartmennya yang terletak di Staten Island, New York. Salah satu koleksi yang paling disukai Marilyn di antara koleksinya adalah ‘kiddies Krypt and life dead Dolls’. Secara keseluruhan koleksi yang dimiliki dikatakan bernilai ratusan ribu dolar, di mana setiap koleksi bernilai AS$2,500. Adakah anda sanggup mengikut jejak Marilyn mengumpulkan koleksi yang menyeramkan ini?

    Koleksi kon jalan

    Pernahkah anda terfikir untuk menjadikan kon-kon di jalan raya sebagai barang koleksi? Jika anda menyatakan tidak, justeru bagi David Morgan yang berasal dari Fulbrook, United Kingdom akan menyatakan ya.

    Ini kerana mengumpulkan kon jalan merupakan hobi David Morgan yang dikatakan telah mengumpulkan kira-kira ratusan kon jalan di rumahnya. Malah dengan pencapaiannya itu, Morgan dimasukkan di dalam Guinness Book of Records sebagai pemilik koleksi kon jalan terbanyak di dunia.

    Pengumpulan kon jalan ini dikatakan bermula pada tahun 1986, semasa dia terlibat dalam perselisihan undang-undang dengan pengeluar saingan mengenai reka bentuk kon. Morgan menjelajahi negara itu untuk membuktikan reka bentuknya sudah ada sebelumnya, dan memenangkan kesnya.

    “Kemana sahaja saya pergi, saya mengumpulkannya, tetapi saya selalu mengambil yang baru dan menukarnya. Saya tidak akan pernah mencurinya, kerana ia adalah produk keselamatan. Saya biasanya bertanya kepada yang bertugas, tetapi mereka tidak merasa terganggu, dan kebanyakan kon yang saya perolehi ditinggalkan selama bertahun-tahun – ada kalanya sehingga 15 tahun setelah kerja jalan selesai. “

    Dia mengatakan bahawa koleksi tertua adalah kon Lynvale 1956 dari Scotland. Dia juga bangga dengan pengambilalihannya di peringkat antarabangsa – termasuk kon dari Malaysia, yang dijumpai di sebuah pantai di Kepulauan Scilly, dan model Adapterform 1980 yang langka, yang diambilnya di lapangan terbang ketika berbulan madu di pulau Corsica pada tahun 1988.

    Bagi penulis, koleksi ini memang unik dan aneh, namun dinasihatkan para pembaca tidak mengikuti jejak David Morgan, disebabkan setiap kon-kon jalan di negara kita me rupakan milik kerajaan dan persendirian.

    Koleksi sabun buku

    Seperti yang kita ketahui mengamalkan kebersihan diri merupakan salah satu langkah yang terbaik untuk mencegah jangkitan penyakit. Salah satu cara menjaga kebersihan diri adalah menggunakan sabun ketika mencuci tangan.

    Namun, berbeza pula dengan seorang wanita berasal dari Sutton Coldfield, Carol Waughn yang menjadikan sabun buku sebagai koleksi. Sebelum mendiang meninggal dunia, beliau pernah dimasukkan ke dalam Guinness Book of Records sebagai pengumpul sabun terbanyak.

    Menurut sebuah laman web, Carol berjaya mengumpulkan lebih daripada 5,000 sabun buku yang diperolehinya di seluruh dunia sejak tahun 1991.

    Carol Vaughn menyukai mencari sabun-sabun yang baharu pernah dijumpainya dan suka mencari sabun yang aneh, seperti salah satu yang diperolehi daripada temannya yang berbentuk kek keju.

    Di samping itu juga, Carol Vaughn juga dikenali sebagai ‘the bag lady’ kerana berjaya memecah rekod mengumpul beg-beg plastik sebanyak lebih 35,000 keping.

    Koleksi tanda ‘do not disturb’

    Jika anda menginap di sebuah hotel, pasti anda akan menemukan satu tanda yang tergantung di ganggang pintu bilik-bilik penginapan hotel tersebut. Tanda itu adalah tanda ‘do not disturb’ yang berfungsi sebagai mengelakkan para petugas hotel memasuki bilik berkenaan dan juga diganggu oleh penginap-penginap yang lain.

    Secara logiknya tidak terlintas di dalam fikiran kita untuk menjadikannya sebagai barang koleksi kerana banyak lagi barang lain yang lebih menarik untuk dijadikan koleksi.

    Namun berbeza dengan Jean-Francois Vernetti berasal dari Switzerland yang tertarik untuk menjadikan tanda ini sebagai satu koleksi.

    Mengikut catatan Jean-Francois Vernetti berjaya mengumpulkan sebanyak 11,111 tanda ‘do not disturb’ pelbagai jenis dari hotel-hotel di 189 buah negara sejak tahun 1985.

    Dikhabarkan pengumpulan tanda ini bermula ketika Jean menginap di sebuah hotel di Sheffield, England. Pada mulanya, Jean mendapati berlakunya kesalahan ejaan pada tanda tersebut yang membuatnya tertarik untuk membawanya pulang dan akhirnya mengumpulkannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda