Variasi keunikan kulinari Lucknawi

Oleh Nurdiyanah R.

India merupakan salah sebuah negara yang bukan hanya memiliki budaya dan bahasa yang beragam, bahkan gaya kuliner yang tersendiri.

Dengan menggabungkan keunikan rasa antara manis, masam, pedas dan rangup, itulah yang menjadikan hidangan masyarakat India mempunyai keistimewaan di mata para pencintanya yang bukan hanya dalam kalangan masyarakatnya bahkan juga tidak terkecuali masyarakat di tanah Melayu termasuklah Negara Brunei Darussalam.

“Hidangan yang penuh berkrim dengan pelbagai bahan rempah ratus dan herba dari India, itulah istimewanya cita rasa hidangan India yang diketengahkan sehingga mampu mewujudkan keaslian rasa yang mampu cita rasa ramai,” kata Cef Gourmet dari The Ashok Hotel, India, Kirti Rastogi ketika ditemui Media Permata, semasa berlangsungnya Promosi Makanan India Taste of Lucknawi Cuisine di Rizqun Coffee House, Gadong pada 15 dan 16 Februari lalu.

Adapun promosi hidangan India berkenaan dianjurkan oleh Rizqun International Hotel dengan kerjasama Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam dan India Tourism Development Corporation Ltd, New Delhi itu bukan hanya bermatlamat untuk memperkenalkan kuliner India yang penuh dengan keunikan dan cita rasanya yang tersendiri bahkan ia secara tidak langsung bagi mengeratkan lagi hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan India.

Uniknya kulinari Lucknawi atau Avadhi

Lebih 10 jenis hidangan berasal dari salah sebuah wilayah di Utara India, Uttar Pradesh atau dikenali sebagai Bandar Nawab, Lucknow telah ditampilkan dengan kemeriahan konsep masakan ‘The Rich and Royal’ kulinari Lucknawi atau Avadhi iaitu dengan menggunakan warisan masakan gaya teknik tradisional.

Cef Kirti (kiri) berkongsi keunikan dan keistimewaan hidangan yang diketengahkan semasa berlangsungnya Promosi Makanan India Taste of Lucknawi Cuisine pada pertengahan Februari lalu di negara ini, ketika ditemui penulis, baru-baru ini.
Lebih 10 jenis hidangan berasal dari salah sebuah wilayah di Utara India, Uttar Pradesh atau dikenali sebagai Bandar Nawab, Lucknow telah ditampilkan dengan kemeriahan konsep masakan ‘The Rich and Royal’ Kulinari Lucknawi atau Avadhi iaitu dengan menggunakan warisan masakan gaya teknik tradisional antaranya Murgh Dum Briyani dan Gosht Awandhi Korma.
Khilley Phool merupakan hidangan berkonsepkan campuran dari pelbagai sayur-sayuran seperti brokoli, bunga kubis dan lada Benggala dengan jenis masakan masala.
Selain itu, kuliner Lucknawi juga memiliki salah satu hidangan kebab yang unik dengan gaya resepi yang tersendiri berasaskan sayur-sayuran yang dikenali dengan nama hidangan Hara Shara Kebab.
Beberapa jenis hidangan pencuci mulut yang lain turut diketengahkan antaranya puding beras (Kheer) dan juga kuih Semolina.

Secara dasarnya, hidangan India Utara ini lebih banyak menggunakan hasil tenusu di dalam masakannya terutamanya susu. Selain itu, pelbagai masakan yang diketengahkan memiliki keaslian rasa dengan rempah ratus dan herba yang sememangnya bukan hanya membangkitkan aroma dan kesedapan masakan bahkan dikatakan bermanfaat untuk kesihatan.

Antara rempah ratus yang sering digunakan adalah ketumbar, jintan manis, cili kering, kunyit, serbuk cili, kulit kayu manis, buah pelaga, cengkih dan garam masala yang terlebih dahulu dikisar halus atau sedikit kasar bersama lada hitam, bunga cengkih dan buah pelaga.

Kuliner istimewa penuh keunikan

Salah satu kuliner khas yang diketengahkan ialah Murgh Dum Briyani. Hidangan nasi dari jenis beras Basmati dengan potongan daging ayam dan kesegaran sayur-sayuran serta dadih. Begitu juga keaslian rempah ratus dan herba dimuatkan dalam penyediaan sebagai bahan-bahan utama untuk membangkitkan aroma masakannya.

Selain itu, hidangan berasaskan daging kambing masak kari kurma yang dikenali dengan nama Gosht Awandhi Korma juga menjadi salah satu kuliner yang mampu menawan rasa. Tidak ketinggalan juga hidangan berkonsepkan campuran dari pelbagai sayur-sayuran seperti brokoli, bunga kubis dan lada Benggala dengan jenis masakan masala yang mana disebut sebagai Khilley Phool.

Selain itu, kuliner Lucknawi juga memiliki salah satu hidangan kebab yang unik dengan gaya resepi yang tersendiri berasaskan sayur-sayuran. Ia dikenali dengan Hara Shara Kebab yang terdiri dari bahan-bahan asas seperti bayam, kacang pis hijau dan ubi kentang.

Keenakan kuliner pencuci mulut Lucknawi

Dikenali dengan nama Gulab Jamun iaitu salah satu kuliner pencuci mulut Lucknawi yang merupakan bebola yang berasaskan bahan-bahan dari tepung dan serbuk susu yang berkuahkan sirap ros. Dalam pada itu, beberapa jenis hidangan pencuci mulut yang lain turut diketengahkan termasuk puding beras (Kheer) dan juga kuih Semolina.

Dalam pada itu, Cef Kirti turut menjelaskan bahawa makanan India dan Brunei mempunyai persamaan daripada segi rempah dan masakan. Namun masakan India mempunyai cita rasa tersendiri dan sangat unik berbanding dengan masakan di ASEAN.

“Ini bagaikan peluang keemasan yang pastinya sesuatu kenangan manis yang sukar dilupakan di mana dengan mengetengahkan Kuliner Lucknawi atau Avadhi ini, ia dapat memberigakan kepada masyarakat di negara ini bahawa India memiliki variasi budaya dengan pelbagai pilihan hidangan istimewa untuk diterokai oleh pencinta kuliner,” tambahnya yang kini berusia 36 tahun semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.