Oleh Adiiwira
Perasaan cinta dalam diri seseorang itu bukanlah wujud secara paksa. Namun kewujudan perasaan itu hadir secara tiba-tiba dan tanpa sebab yang mampu diluahkan dengan kata-kata. Dari keikhlasan perasaan cinta itu barulah hubungan antara si dara dan si teruna begitu telus.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai hasrat untuk orang yang kita sukai tidak semudah memetik jari. Malah memerlukan usaha dan pengorbanan yang dapat diibaratkan pertempuran di medan peperangan. Usaha yang berbekalkan ketelusan perasaan itulah juga kita mengenal erti cinta sejati.
Dalam penceritaan drama, tidak kisah dalam drama Melayu atau drama Korea Selatan (K-drama), tema cinta ini tidak asing diketengahkan dan dalam masa yang sama tema ini juga mudah diterima penonton. Namun, pengolahan cara dan gaya penulisan sesebuah drama menggerakkan tema ini mengambil peranan penting untuk menjadikannya lebih menarik.
Ruangan kali ini, penulis akan mengongsikan gabungan drama-drama Melayu dan K-drama yang sedang dan bakal ditayangkan:
Hello Jangan Tapau Cintaku
Drama Hello Jangan Tapau Cintaku ini merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Hasreeyati Ramli yang menggunakan tajuk yang sama.



Drama ini diarahkan oleh Idora Abdul Rahman yang skripnya ditulis oleh Norazwanizan Awang dan terbitkan oleh Mache All Star United. Drama 13 episod ini akan ditayangkan di slot Lestary TV3 yang dibintangi oleh Nafiz Muaz, Elisya Sandha, Syerinie Myra, Eyka Farhana dan ramai lagi.
Drama ini mengisahkan tentang seorang gadis kampung bernama Ain Dheya (yang diperan oleh Elisya Sandha), yang datang bekerja di bandar. Memandangkan keluarganya susah, dia seorang jenis amat penjimat dan sifat yang paling tidak dapat dikikis ialah sifat tapau.
Ash Fayyad (yang diperan Nafiz Muaz), seorang anak hartawan yang pemboros, suka menyakitkan hati orang di sekelilingnya dan sombong. Kisah mereka bermula apabila Ash Fayyad menawarkan wang bernilai RM50,000 kepada sesiapa sahaja yang sanggup menjaga adik perempuannya yang berkerusi roda. Ain Dheya yang terdesak memerlukan duit untuk membayar hutang sewa tanah orang tuanya menerima tawaran tersebut.
Bermacam-macam peristiwa yang terjadi selama Ain Dheya berada di rumah Ash Fayyad. Hinggakan huru-hara jadinya satu rumah itu. Namun. berputikkah cinta antara Ain Dheya dan Ash Fayyad nanti?
More Than Friends
Drama kedua yang dikongsikan penulis ini merupakan sebuah K-drama baharu JTBC Studios yang akan ditayangkan pada 25 September ini.
Drama komedi romantik ini diarahkan oleh Choi Sung-Bum yang pernah menjadi pengarah drama My ID is Gangnam Beauty dan penulis skrip drama More Than Friends ini adalah Jo Seung-Hee. Drama 16 episod ini dibintangi oleh Ong Seong-Wu, Shin Ye-Eun, Kim Dong-Joon dan ramai lagi.
More Than Friends ini mengisahkan tentang seorang wanita dan seorang lelaki yang memiliki perasaan suka antara satu sama lain. Pada 10 tahun yang lalu, Kyung Woo-Yeon (Shin Ye-Eun) merupakan seorang gadis yang periang dan baik hati. Dia jatuh cinta pada seorang pemuda bernama Lee Soo (Ong Seong-Wu) yang merupakan temannya sendiri. Tanpa pengetahuannya Lee Soo juga memendam perasaan yang sama terhadapnya, namun masing-masing tidak mengakuinya.
Sedekad kemudian, Woo-Yeon yang ketika itu sudah menjadi seorang penulis kaligrafi tetap menyimpan perasaan sukanya kepada Lee Soo. Meskipun mereka berhubungan sebagai teman, namun Woo-Yeon masih tidak dapat mengakui perasaannya kepada Lee Soo. Kedua-duanya masih menyimpan perasaan selama 10 tahun, waktu terus berlalu dan membuat mereka semakin lebih dari sekadar teman biasa. Siapakah yang mula mengungkapkan perasaan cintanya?
Biar Mereka Cemburu
Drama seterusnya ini merupakan sebuah drama yang menggandingkan Aiman Hakim, Nabila Razali dan Izzat Mushtaq. Drama ini diadaptasi daripada novel karya Anuar Darwisy yang diarahkan oleh Roslin Sharif dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd. Drama komedi romantik ini akan ditayangkan pada bulan November ini dalam slot Megadrama, Astro Ria
Biar Mereka Cemburu ini mengisahkan tentang Nadia, satu-satunya konduktor bas di KL yang jikalau dirapikan penampilannya, pakai cantik-cantik, agaknya berduyun-duyun lelaki yang jatuh cinta. Tetapi dalam kesederhanaannya itu jugalah, dia masih berjaya menambat hati dua orang jejaka. Seorang pemandu bas dan seorang lagi anak tengku. Dia keliru. Hendak memilih cinta yang mana satu sedangkan hendak bercinta pun dia tidak tahu!
Rostam, pemandu bas yang malu tapi mahu orangnya yang berat mulut hendak meluahkan perasaan kepada konduktor basnya sendiri. Apabila datang kekuatan dalam diri untuk berterus-terang, datang pula pesaing yang membuatkan dirinya rasa tercabar. Dia perlu cepat melafazkan kata-kata cinta tetapi sempatkah dia? Tetapi dia juga ada peminat fanatiknya sendiri. Tiap-tiap hari mengajaknya kahwin! Perempuan berani mati yang sanggup terjun bas apabila dia menolak cinta perempuan itu. Iedil, anak tengku, lelaki yang punya segala-galanya. Termasuklah kekasih hati. Tetapi entah bagaimana, boleh pula dia berkenan dengan konduktor bas seorang ini. Sampai sanggup naik bas tiap-tiap hari ke tempat kerja semata-mata mahu berjumpa dengan si konduktor cantik ini. Tapi bukan senang! Sebab dia sudah ada kekasih hati.
Homemade Love Story
Homemade Love Story ini sebuah K-drama terbaharu yang mengetengahkan genre komedi, romantik dan kekeluargaan. Drama ini mengisahkan tentang kehidupan penghuni di Samgwang Villa yang tidak mengenal antara satu sama lain yang akhirnya saling terbuka kepada orang sekitarnya hingga menimbulkan perasaan satu sama lain.
Kisahnya bermula dari Woo Jae-Hee(Lee Jang-Woo) seorang arkitek yang sensitif dan mudah marah yang ingin hidup sendiri tanpa bantuan ayahnya yang kaya. Woo Jae-Hee berjumpa dengan seorang wanita bernama Lee Bit Chae Woon (Jin Ki-Joo) yang merupakan seorang pereka dalaman.
Suatu hari, Lee Bit Chae Woon dan Woo Jae-He bertengkar dan tanpa mereka sedari keduanya merupakan penghuni dari Villa Samgwang. Meskipun diawali dengan pertemuan dan kebencian, akhirnya mereka terlibat dalam kisah cinta yang tidak terduga.
Drama ini diarahkan oleh Hong Seok-Ku dan diterbitkan hasil kerjasama Monster Union dan Production H yang memiliki sebanyak 100 episod yang telah ditayangkan pada 19 September lalu.