Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Variasi laksa Malaysia tampil keunikan tersendiri

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Hidangan laksa memang sudah tidak asing lagi di negara ini, dengan pelbagai variasi boleh didapati di restoran-restoran dan kedai makan.

    Laksa berasal dari Malaysia di mana ia merupakan antara makanan yang menjadi pilihan utama sebagai sajian harian tidak kira buat keluarga atau tetamu.

    Pesta Laksa Malaysia yang berlangsung selama dua hari di Hotel Antarabangsa Rizqun, baru-baru ini memberikan peluang kepada orang ramai di negara ini untuk merasa pelbagai variasi laksa dari beberapa buah negeri di Malaysia yang masing-masing mempunyai keunikannya yang tersendiri.

    Setiap laksa menggunakan bermacam-macam bahan dari setiap negeri, jika dilihat ia seakan-akan serupa tetapi rasanya tidak sama.

    Seperti yang diketahui, laksa sinonim dengan ikan yang dicampur ke dalam kuah, namun setiap negeri di Malaysia menggunakan ikan yang berlainan, ada antaranya menggunakan ikan tenggiri, temenung dan sebagainya.

    TYT Dato Raja Reza berkata terdapat hampir 20 jenis laksa di Malaysia dan keunikan inilah membuatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal sebagai melting pot. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Barishah menghidangkan laksa Kedah semasa Festival Laksa Malaysia. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Laksa Penang turut ditampilkan semasa festival di Hotel Antarabangsa Rizqun, hujung minggu lalu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Pesta Laksa Malaysia yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun meriah dengan kedatangan penduduk tempatan dari keempat-empat Daerah yang mempamerkan dan menyajikan pelbagai variasi laksa dari beberapa buah negeri di Malaysia dan kesemuanya mempunyai keunikkannya tersendiri. – Gambar oleh Muiz Matdani

    LAKSA JOHOR

    Sohana binti Samsuri, asal Kuala Lumpur, merasa amat gembira dapat turut serta dalam pesta berkenaan kerana dapat memberikan peluang kepada penduduk tempatan untuk menikmati juadah laksa yang dihasilkan oleh beliau.

    “Terdapat pelbagai laksa yang disediakan di pesta ini, antaranya ialah laksa Penang, laksa johor, laksa Sarawak, dan laksa Kedah, ” ujarnya.

    Beliau yang menyediakan laksa Johor telah belajar daripada kawan-kawan dari Johor mengenai resipi laksa berkenaan.

    Menurut beliau, tatacara memasak laksa Johor agak unik sedikit, di mana ia perlu ditumis dengan beberapa bahan antaranya bawang merah, halia dan serai.

    Setelah pecah minyak barulah diletak dengan lada kering dan rempah kari, seterusnya udang direbus dan diadun berserta ikan tenggiri dan ikan temenung.

    Keunikan laksa ini, jelas beliau, ia menggunakan spageti dan santan, kerana mengikut sejarah dahulu, terciptanya laksa Johor menggunakan spageti kerana ia disediakan khas untuk sultanah (mat salih).

    LAKSA KEDAH

    Barishah binti Saad, dari Kedah yang sering menyajikan laksa Kedah untuk keluarganya pula mengongsikan, ikan yang hendak digunakan mestilah ikan segar dan bukan ikan yang sudah lama kerana bimbang kuah laksa akan rosak dalam masa yang singkat.

    Laksa Kedah merupakan sejenis makanan berkuah yang terkenal di Kedah. Ia juga dikenali sebagai Laksa Utara atau Laksa Teluk Kechai. 

    Makanan tradisi ini, jelas beliau, menjadi hidangan semasa musim perayaan.

    Bahan asas penyediaan sajian istimewa ini ialah laksa beras, ikan kembung, belacan, asam keping, cili, garam dan telur.

    Resipi Laksa Utara yang asli, sangat terkenal di negeri Kedah dan Perlis, dengan perahan limau nipas dan cili padi yang pasti memecah selera.

    Hanya ikan yang segar digunakan untuk kuah bagi menjamin rasa yang memuaskan. Kuahnya juga perlu tidak terlalu cair atau terlalu pekat dan bahan ulaman segar digunakan untuk taburan di atas laksa.

    Untuk laksa Kedah, beliau mendapatkan resipinya secara turun-temurun. Laksa kedah berbeza dengan laksa lain kerana ia menggunakan belacan, ikan, bawang, cili boh. Ia berbeza dengan laksa Penang yang menggunakan buah nenas dan sosnya juga menggunakan sambal utak udang.

    MEMPERKENALKAN KEPELBAGAIAN LAKSA MALAYSIA

    Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato Raja Reza bin Raja Zaib Shah berkata, festival yang julung kalinya dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara ini pada 3 hingga 5 November itu bertujuan untuk memperkenalkan kepelbagaian laksa yang ada di Malaysia.

    Kerana selama ini, ramai rakyat di Brunei hanya mengetahui laksa seperti laksa Penang, laksa Kedah, laksa Johor dan sebagainya.

    Akan tetapi, ujar beliau ketika ditemu bual, kalau diteliti lebih mendalam, sebenarnya terdapat hampir 20 jenis laksa di Malaysia dan keunikan inilah membuatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang terkenal sebagai melting pot.

    Menyentuh mengenai laksa manakah yang terbaik, beliau berkata bahawa memang pernah terjadi perdebatan mengenainya, tetapi tujuan Festival Laksa Malaysia bukanlah untuk menyaksikan yang mana terbaik akan tetapi untuk memberikan peluang kepada pengunjung untuk merasa sendiri perbezaan laksa-laksa yang dihasilkan setiap
    negeri.

    FESTIVAL LAKSA MALAYSIA

    Festival Laksa Malaysia diadakan di Ne-gara Brunei Darussalam sebahagian daripada agenda Suruhanjaya Tinggi Malaysia iaitu untuk memperkenalkan diplomasi secara kebudayaan, dengan menggunakan makanan sebagai alat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Brunei dan Malaysia.

    Ia diharap akan dapat mengeratkan hubungan antara warga Malaysia, Brunei dan warga asing lainnya untuk sama-sama menikmati makanan Malaysia terutamanya laksa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda